PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini mengaku sedia menjadi umpan untuk menarik undi Melayu kepada parti-parti PH.
Mahathir dalam kenyataan ini mahu menunjukkan yang beliau memainkan peranan sebagai penarik undi Melayu kepada PH, sebagai pilihan lain kepada parti Melayu lebih besar UMNO dan PAS.
Kenyataan menyebut dirinya sebagai umpan boleh menampakkan beliau merendah diri mengaku sekadar menjadi umpan, tetapi pada masa yang sama, Mahathir juga seorang “top dog” atau strongman dalam PH.
Lim Kit Siang boleh dianggap juga sebagai seorang lagi strongman kerana merupakan seorang ahli politik senior dalam PH, dan partinya DAP juga parti yang dominan dengan jumah kerusi sedia dimenangi jauh mengatasi parti rakan lain.
Berdasarkan pembahagian kerusi, DAP mendapat jumlah terbesar kerusi untuk ditandingi sama ada Parlimen atau Negeri kerana parti ini juga yang paling tua dalam PH.
DAP sudah sedia mentadbir sebuah negeri yang dimenangi dua penggal lalu, sedangkan PPBM dan PAN hanya akan memasuki pilihan raya buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini.
PKR juga lebih berpengalaman dan mempunyai Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua, tetapi beliau masih dalam penjara dan tidak dapat mengawal parti yang sedang berpecah.
PPBM mempunyai kelebihan mempunyai seorang bekas perdana menteri dan bekas timbalan perdana menteri, serta seorang bekas menteri besar.
Walaupun tidak sekuat DAP, PPBM mempunyai lebih ramai pemimpin kanan, dan yang paling berpengaruh tentulah Mahathir sendiri.
Kenyataan terbaharu menyatakan hasrat PH untuk memperkenalkan semula penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran sains dan matematik (PPSMI) ke sekolah-sekolah awam menunjukkan sekali lagi pengaruh kuat Mahathir dalam PH.
Program yang dimulakan atas kehendak Mahathir itu telah dihentikan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Mahathir nampaknya tidak puas hati dengan usaha mengganggu dan menyekat program yang dimulakannya itu.
Cadangan untuk memperkenalkan semula PPSMI yang disebut secara terbuka ini menjadi bukti pengaruh kuat Mahathir, sehingga agenda ini diletakkan sebagai satu prioriti PH.
Sejak awal penubuhan PH dan pembentukan majlis kepimpinannya, Mahathir sudah menunjukkan yang beliau tidak akan membiarkan pihak lain menguasai pakatan itu lebih daripada dirinya sendiri.
Mahathir berjaya diletakkan sebagai pengerusi sebaris dengan ketua umum dan presiden yang kedua-duanya (Anwar dan isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) tidak mempunyai kuasa yang cukup untuk mengimbangi Mahathir.
Sebagai pengerusi, tentulah beliau mempunyai kuasa yang cukup besar untuk menentukan hala tuju PH, tambahan pula personaliti Mahathir itu sendiri juga sudah cukup disegani.
Hal melibatkan rundingan dan hubungan dengan PAS, dasar-dasar yang hendak diperjuangkan dan sebagainya, diperhalusi dan dinilai oleh Mahathir sebelum dapat diterima sebagai pendirian bersama.
Masih segar dalam ingatan gambar menarik barisan pemimpin PH mengangkat placard bertulis “Anwar PM ke 7” tetapi Mahathir yang berdiri bersama mengangkat telefon bimbit, mungkin untuk mengambil gambar dan memberi alasan kukuh untuk mengelak daripada berkempen untuk pemimpin yang dituduhnya meliwat itu.
Mohamad Sabu, presiden PAN yang dulu kuat melawan Mahathir atas isu penahanan tanpa bicara ISA, akhirnya tunduk kepada Mahathir dan memasak pula untuk bekas perdana menteri itu.
Nurul Izzah Anwar, anak perempuan Anwar yang digelar Puteri Reformasi juga turut sama tunduk, dalam satu rakaman video berjalan dan bercakap dengan Mahathir seperti cucu dengan datuk.
Sebelum itu, Anwar sendiri mengatakan yang apa yang dilakukan oleh Mahathir terhadap beliau dan gerakan reformasi dulu sebagai “luka kecil”.
Pada tahun lepas, seluruh PH juga telah memaafkan Mahathir susulan permintaan maafnya atas kesilapan semasa menjadi perdana menteri selama lebih 20 tahun.
Kesimpulannya, Mahathir telah berjaya memaksakan agendanya menjadi agenda PH, tetapi PH tidak dapat memaksa Mahathir menerima kehendak pakatan pembangkang itu. – Mynewshub.cc/H