SANDAKAN – Promosi dan pemasaran produk perniagaan menerusi media sosial telah membantu seorang usahawan, Andi Juhana Andi Appa, 36, memperkembangkan perniagaan makanan yang diusahakannya.
Ia bermula selepas dia menjadi ahli di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) , Program Perumahan Rakyat ( PPR) Taman Murni di sini dan di situ dia dibimbing untuk mempromosi dan menerima tempahan makanan jualannya seperti nasi ayam dan nasi lalap daripada pelanggan menerusi aplikasi Facebook dan WhatsApp.
Sebelum itu, Andi Juhana tidak menggunakan media sosial untuk mempromosi perniagaannya itu dan pewujudan PI1M di taman Program Perumahan Rakyat itu telah menambah pengetahuannya untuk memperkembangkan perniagaan menerusi media sosial.
“Terima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana adanya PI1M, perniagaaan saya cepat dikenali oleh masyarakat khususnya penduduk di taman perumahan ini.
Pewujudan pusat ini membolehkan saya dibimbing untuk menggunakan kelebihan media sosial dengan sebaik mungkin untuk manfaat menjana pendapatan perniagaan makanan yang saya usahakan,” katanya kepada Bernama di sini.
Andi Juhana merupakan antara 12 usahawan dibimbing di PI1M PPR Taman Murni sejak mula beroperasi pada 9 Februari tahun lepas.
Pengurus pusat itu Rahmat Nasrah berkata jumlah anggota yang mendaftar di pusat itu sudah mencecah 679 orang yang kebanyakannya tinggal di dalam kawasan taman perumahan itu dan taman perumahan berhampiran seperti Taman Khaya, Taman Airport serta Kampung Tinusa.
Katanya kemudahan yang disediakan di pusat itu adalah perkhidmatan melayari internet, latihan teknologi maklumat dan komunikasi membabitkan kelas asas Microsoft dan Excel serta latihan keusahawanan.
Menurutntya latihan keusahawan itu lebih kepada membimbing anggota yang menjalankan perniagaan untuk menggunakan media sosial bagi mempromosi dan menerima tempahan produk perniagaan mereka daripada mereka yang berminat.
Beliau berkata perkhidmatan lain turut disediakan di pusat itu adalah membuat salinan dan mesih pengimbas.
Rahmat berkata bagi meluaskan capaian internet di kawasan taman perumahan itu, perkhidmatan wifi komuniti percuma disediakan kepada mereka yang menjadi ahli di PI1M PPR Taman Murni.
PI1M PPR Taman Murni dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti am.
Dalam pada itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Taman Murni Norhamzah Zakaria menyifatkan pembukaan PI1M di taman itu memberi manfaat besar dari segi capaian internet kepada penduduk yang tinggal di taman berkenaan dan kawasan taman perumahan berhampiran.
Katanya ia membolehkan mereka celik kepada penggunaan aplikasi komunikasi menggunakan internet seperti WhatsApp dan mendapatkan perkembangan berita semasa menerusi media sosial.
Menurutnya pada masa sama, pembukaan PI1M membolehkan golongan remaja dan belia di taman itu mengisi masa mereka dengan melayari internet di pusat itu.
Di daerah ini, MCMC membuka lima lagi PI1M iaitu di Kampung Sungai Kayu, PPR Taman Mesra, Kampung Sebait Padas, PPR Taman Sungai Gum Gum dan Kampung Suan Lamba dengan bilangan pengguna pada tahun lepas sebanyak 35,179 orang.
Di Beluran terdapat lapan PI1M iaitu di Bintang Mas, Kampung Gana Jati, Kuala Sapi, Botition, Kolapis, Wonod, Pekan Beluran dan Pekan Telupid dengan bilangan pengguna berjumlah 13,603 orang pada tahun lepas.
Tujuh PI1M terdapat di Kinabatangan iaitu Kampung Sukau, Bilit, Sentosa Jaya, Paris 3, Batu Putih, Pelangi dan Pekan Kinabatangan dengan bilangan pengguna bejrumlah 27,486 orang pada tahun lepas.
Inisiatif ini yang bermula pada tahun 2013 ini diterajui oleh pihak MCMC dan dibiayai melalui dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat.
Dengan berkeluasan sekurang-kurangnya 111.48 meter persegi, setiap PI1M dilengkapi dengan sambungan internet jalur lebar berkelajuan maksimum 20 megabit sesaat (Mbps), ruang kondusif yang memuatkan 10 komputer untuk latihan dan 10 komputer untuk melayari internet selain kemudahan wifi percuma.
Dua penyelia yang dilantik secara sepenuh masa bagi menguruskan pusat ini juga bertanggungjawab menganjurkan latihan dan memberi bimbingan berterusan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), multimedia dan keusahawanan secara percuma kepada semua pengguna dan komuniti setempat di lokasi PI1M tersebut. – BERNAMA