KUALA LUMPUR – Skuad kebangsaan mengakhiri kempen Kelayakan Piala Asia 2019 dengan kekalahan 1-2 ke atas Lubnan pada aksi Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut, semalam.
Di sebalik kekalahan itu, barisan anak buah Tan Cheng Hoe seharusnya diberi pujian setelah menampilkan aksi bertenaga dengan melakukan banyak hantaran pendek dan corak permainan yang ternyata berbeza dari sebelum ini serta menunjukkan semangat berjuang yang tinggi.
Walaupun penguasaan bola dilihat seimbang pada separuh masa pertama, pasukan tuan rumah terlebih dahulu berada di depan selepas pengadil perlawanan dari Uzbekistan, Valentin Kovalenko menghadiahkan sepakan penalti apabila pemain pertahanan Matthew Davies membentes ketua pasukan Lubnan Hassan Maatouk di dalam kotak penalti.
Maatouk tidak mensia-siakan peluang meletakkan pasukannya mendahului 1-0 pada minit ke-19 selepas sepakan kencang beliau berjaya menewaskan penjaga gol negara, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy untuk gol pembukaan.
Tersentak dengan jaringan itu, barisan serangan kebangsaan yang diketuai Zaquan Adha Abdul Razak menggandakan asakan dan mereka hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-22, namun rembatan Zaquan sedikit melewati palang gol.
Bermula babak kedua, giliran skuad negara pula diasak bertubi-tubi oleh Lubnan yang mencari gol kedua untuk mematahkan semangat pemain negara.
Percaturan Cheng Hoe mengeluarkan Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan mempertaruhkan Muhammad Syafiq Ahmad di barisan hadapan nyata berbaloi apabila beliau bijak melompat tinggi menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-72 untuk mengikat kedudukan semasa 1-1 dan memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah.
Gol penyamaan itu seakan memberi nafas baharu buat pasukan kebangsaan, namun segala serangan yang dilancarkan pemain negara selepas itu mudah dipatahkan barisan pertahanan Lubnan.
Sedikit kealpaan barisan pertahanan yang gagal mengeluarkan bola jauh dari kotak penalti pada masa kecederaan ketika hujung babak kedua pantas dihukum Hilal Al Helwe yang bijak mencuri peluang dengan melepaskan rembatan deras untuk menewaskan Muhammad Hafizul buat kali kedua.
Kekalahan itu menyaksikan skuad negara menamatkan saingan Kumpulan B pada kedudukan tercorot dengan satu mata manakala Lubnan muncul juara kumpulan dengan 14 mata diikuti Korea Utara dengan 11 mata dan Hong Kong di tangga ketiga memungut lima mata. – BERNAMA