KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan kerja pembinaan terowong MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) membabitkan jajaran sepanjang 52.2 km dengan 13.5 km adalah di bawah tanah.
Pada acara yang diadakan di laluan stesen Bandar Malaysia Utara di sini, Najib merasmikan satu daripada mesin pengorek terowong (TBM) yang akan digunakan untuk membina bahagian bawah tanah di laluan itu.
Laluan SSP akan mempunyai 35 stesen, 11 daripadanya di bawah tanah.
Najib turut melihat dengan dekat operasi TBM dari dek peninjau di tapak itu dan diberikan taklimat perkembangan terkini projek itu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu pemberita bahawa Laluan SSP sudah 22 peratus siap dan dijadual siap pada 2021.
Laluan SSP adalah yang kedua dibina di bawah Projek MRT Lembah Klang selepas MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) sepanjang 51 km.
TBM yang dilancarkan hari ini adalah TBM Pelbagai Kepadatan yang direka khusus untuk mengendalikan keadaan geologi formasi batu kapur yang mencabar di Lembah Klang. Ia juga merupakan yang pertama untuk menjalani servis penyelenggaraan di Malaysia.
Sebelum ini digunakan untuk Laluan SBK, TBM itu menjalani servis penyelenggaraan di kemudahan dikendalikan oleh Waiko Engineering Sdn Bhd di Pusing, Perak – yang pertama dan satu-satunya kemudahan servis penyelenggaraan TBM di Asia Tenggara.
Laluan MRT dari Sungai Buloh ke Putrajaya akan melalui lokasi seperti Kepong, Batu, Jalan Ipoh, Titiwangsa, KLCC, Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, Sungai Besi, Serdang, UPM dan Cyberjaya.
Selain Menteri Pengangkutan Liow, turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi MRT Corp. yang juga merupakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Seri Shahril Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…