KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang.
Pada masa sama, perdana menteri menasihati calon yang tidak berjaya agar tidak berputus asa dan bersedia mengambil apa jua peluang yang tersedia.
“Hari ini keputusan #SPM2017, kepada semua pelajar yang dapat keputusan cemerlang, tahniah! Kepada yang lain jangan putus asa, kehidupan baru bermula, ada banyak peluang tersedia untuk semua,” katanya menerusi laman Twitternya.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin pada sidang media di Putrajaya berkata seramai 443,883 calon yang menduduki SPM pada tahun lepas mencatatkan keputusan indeks Gred Purata Nasional (GPN) yang lebih baik iaitu 4.90 berbanding 5.05 pada 2016.
Keputusan SPM 2017 menunjukkan 48 daripada 73 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 23 mata pelajaran mencatatkan penurunan manakala prestasi dua mata pelajaran tidak berubah. – BERNAMA