KANDY – Polis dan ahli politik yang disokong bekas presiden Mahinda Rajapaksa dipercayai turut menyertai rusuhan anti-Islam di Kandy, Sri Lanka awal bulan ini, kata saksi serta pegawai yang turut disokong rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dilihat Reuters.
Keterangan mangsa dan saksi disokong rakaman CCTV yang dilihat Reuters menyebut mengenai anggota unit polis paramilitari elit, Pasukan Petugas Khas (STF), menyerang imam dan pemimpin Muslim. Komander STF tempatan enggan mengulas perkara itu.
Imam, A H Ramees berkata: “Mereka datang menyerang. Mereka menjerit menggunakan bahasa kesat. Mereka berkata, kami punca semua masalah, bahawa kami seperti pengganas.”
Jurucakap pasukan polis kebangsaan Ruwan Gunasekera berkata, unit siasatan khas sedang menyiasat ‘kepincangan polis dalam kejadian itu.’ Satu lagi unit turut menyiasat peranan ahli politik, katanya.
Menteri Undang-undang dan Ketenteraman Sri Lanka, Ranjith Madduma Bandara berkata, keganasan di Kandy itu dirancang baik dan menuding jari terhadap anggota parti politik, Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP), yang disokong Rajapaksa serta meraih kemenangan besar dalam pilihan raya tempatan, bulan lalu.
Rajapaksa sebelum ini menafikan pembabitannya dan memberitahu media tuduhan terhadapnya bermotifkan politik. – REUTERS/BH ONLINE