IPOH – Polis berjaya melumpuhkan kegiatan memproses dadah mengikut tempahan dengan penangkapan dua lelaki di kawasan belukar berhampiran sebuah kuil, di sini tiga hari lalu, selain merampas pelbagai bahan kimia untuk menghasilkan dadah bernilai kira-kira RM651,000.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata kedua-dua suspek berusia 32 dan 50 tahun berkenaan ditangkap di sebuah khemah sementara yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah terbabit.
“Dalam serbuan 4.30 petang itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ipoh merampas 9.3 kilogram cecair disyaki metamfetamina (syabu) serta bahan cecair kimia yang digunakan untuk memproses dadah dan peralatan memproses serta dadah yang telah siap diproses,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kegiatan itu sejak tiga bulan lalu dan mereka memproses dadah mengikut tempahan yang diterima daripada pengedar.
Siasatan juga mendapati suspek berusia 32 tahun berkenaan yang bekerja sebagai buruh kasar mempunyai empat rekod lampau manakala seorang lagi yang bekerja sebagai pemandu lori tidak mempunyai kesalahan lampau, katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan reman enam hari mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam satu lagi kes, Mohd Ali berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Perak menangkap seorang peniaga berumur 34 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Kurau di sini pada Ahad lalu.
Dalam serbuan kira-kira 3 petang itu, polis menemui 324 gram pil Ecstasy, 120 gram ketamin dan 2.75 kilogram amfetamina dengan nilai keseluruhan RM335,979.
“Bagi mengelirukan pihak berkuasa, suspek membungkus semula dadah terbabit dalam peket minuman ‘Teh Boh’. Kami percaya dadah terbabit dijual di pusat-pusat hiburan,” katanya.
Suspek yang tidak mempunyai rekod lampau dan positif dadah jenis ketamin itu direman mulai semalam hingga 18 Mac ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengulas kes lain, Mohd Ali berkata sepasukan anggota dari Balai Polis Lahat di sini, menangkap tiga lelaki selepas dua jam mereka dipercayai melakukan rompakan di sebuah rumah di Taman Medan Lahat Baru di sini tiga hari lalu.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek berusia 18 hingga 29 tahun terbabit dilihat memasuki sebuah rumah yang tiada orang berkenaan kira-kira 12. 20 tengah malam.
“Sepasukan anggota bersama dua unit kereta peronda polis melalui kawasan itu dan melihat ketiga-tiga lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan di depan sebuah rumah dan bertindak menahan mereka.
“Hasil pemeriksaan pada suspek menemukan satu longgokan pelbagai barangan elektrik yang disyaki hasil daripada melakukan aktiviti pecah rumah di kawasan perumahan itu bernilai kira-kira RM10,000,” katanya. – BERNAMA