GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang membongkar sebuah makmal memproses dadah dan merampas pelbagai jenis dadah serta bahan kimia menghasilkan bahan terlarang itu bernilai RM3 juta dalam serbuan di sebuah apartmen di Greenlane, di sini pada Isnin.
Ketua Polis negeri, Datuk A.Thaiveegan berkata polis turut menahan seorang lelaki yang dipercayai dalang utama sindiket berumur 55 tahun yang datang ke apartmen terbabit untuk mengambil dadah yang siap diproses semasa serbuan dilakukan kira-kira 7.30 malam.
Polis juga menahan tiga lagi lelaki anggota sindiket terbabit yang berada di apartmen itu.
“Hasil pemeriksaan dalam rumah itu yang dijadikan makmal memproses syabu dan pil ekstasi, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan bahan terlarang berkenaan.
Antara dadah yang dirampas ialah 590 biji pil ecstasy, 144 gram(g) heroin, tiga balang kaca berisi syabu seberat 128g serta minyak methamphetamine sebanyak 52.65 liter. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM1.63 juta manakala rampasan minyak methamphetamine bernilai RM1.4 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya polis turut merampas pelbagai peralatan untuk memproses dadah oleh sindiket yang beroperasi di apartmen itu sejak enam bulan lepas antaranya dapur, periuk, pewarna makanan dan bekas silinder.
Thaiveegan berkata berdasarkan siasatan, keempat-empat lelaki berumur 25 hingga 55 tahun itu mendapatkan bekalan bahan untuk memproses dadah di pasaran tempatan sebelum menghasilkan syabu serta pil ekstasi di apartmen berkenaan dan menjualnya di sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
“Keempat-empat lelaki yang mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah itu tidak bekerja dan mereka juga dipercayai mempunyai kepakaran untuk menghasilkan syabu dan pil ekstasi,” katanya.
Beliau berkata rumah yang dijadikan makmal memproses dadah itu dipercayai milik seorang daripada mereka yang ditahan dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan saki baki anggota sindiket terbabit.
Katanya kesemua suspek terbabit kini direman tujuh hari . – BERNAMA