UMUM telah pun ketahui bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan tiba pada bila-bila masa sahaja dalam negara kita.
Kini parti-parti politik tempatan pula sedang sibuk menyediakan manifesto pilihan raya masing-masing bagi menarik minat pihak pengundi.
Sudah pasti apabila pengumuman pembubaran parlimen yang akan dibuat kelak akan membuka ruang kepada semua ahli politik yang terlibat untuk melakukan tugas hakiki mereka.
Ini termasuk sebagai seorang politikus iaitu dengan menjalankan kempen pilihan raya. Dalam melakukan segala bentuk kempen bagi memikat hati pengundi, ahli politik perlu tampil berani di atas pentas.
Ia juga untuk berdebat sesama mereka bagi memudahkan orang ramai khususnya golongan pengundi memahami dengan lebih terperinci mengenai sebarang isu politik yang dibangkitkan mereka sendiri.
Politikus tidak boleh hanya memberi ucapan politik secara bersendirian ataupun ucapan syok sendiri di atas pentas atau dengan hanya memberi dan mengeluarkan kenyataan dengan mengunakan saluran media tertentu.
Ini kerana ia bukan sahaja akan menunjukkan kelemahan diri mereka sebagai seorang ahli politik dan kelemahan parti politik yang mereka wakili malah turut akan menyusahkan orang ramai khususnya pengundi.
Rakyat perlu memahami sesuatu isu politik dibangkitkan. Tanpa adanya proses debat yang dilihat lebih teratur dan memudahkan orang ramai, pengundi terpaksa berulang alik dari sebuah pentas kempen ke sebuah pentas kempen.
Pengundi juga perlu membuka semua saluran media yang ada bagi memahami sesuatu isu politik yang dibawa. Ia akan menyusahkan para pengundi, sekali gus akan menyebabkan pihak pengundi menjadi keliru.
Mungkin pengundi tidak dapat menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Ahli politik perlu berani tampil di atas mana-mana pentas jemputan yang bakal disediakan untuk berdebat secara profesional dengan lawan.
Dengan adanya proses debat ini, ia sekali gus dapat mempamerkan kekuatan sebenar ahli-ahli politik yang bakal masuk bertanding dalam PRU yang akan datang.
Secara tidak langsung juga memudahkan orang awam yang hadir untuk menanyakan sebarang persoalan yang ingin ditanya bagi memahami sesuatu isu berbangkit atau isu yang dibangkitkan oleh ahli politik itu sendiri.
Sebarang proses debat perlulah dilakukan secara profesional, adil dan saksama serta dikawal selia oleh pihak berkuasa yang berkaitan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Amalan berdebat ketika berkempen dalam pilihan raya ini sudah lama dilakukan oleh kebanyakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi moden.
Justeru sudah sampai masanya juga negara kita melakukan perkara yang sama demi kebaikan semua pihak serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah contoh demokrasi di pentas dunia.
Disediakan oleh:
Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
*Video di bawah sekadar hiasan…