IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak tetap dengan pendirian akan mempertaruhkan calon berkaliber bukan daripada kalangan ahli politik untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menegaskan demikian, Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata calon berkenaan dipilih bagi memastikan BN bukan sahaja dapat membentuk kerajaan malah dalam masa yang sama mereka mampu mengurus tadbir dengan baik.
“Calon-calon yang kami pilih itu adalah yang terbaik untuk (mewakili) kawasan berkenaan. Ia penting kerana membentuk kerajaan serta mengurusnya adalah isu berbeza,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Menteri Besar itu berkata pihaknya telah menetapkan kriteria dalam membuat pemilihan calon termasuk mempunyai latar belakang yang baik.
“Kami tidak memilih calon hanya untuk seronok-seronok atau hanya kerana dia pandai berceramah, maki hamun orang dan sebagainya, BN Perak bukan begitu.
“Calon-calon dipilih perlu mempunyai latar belakang yang baik serta mempunyai hubungan baik dengan akar umbi supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Pada Februari lalu, Zambry yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa pegawai kerajaan yang berpotensi untuk menjadi calon di peringkat DUN serta Parlimen untuk bertanding pada PRU14. – BERNAMA