CYBERJAYA – Langkah Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lebih awal adalah tepat bagi mengelak unsur sabotaj terhadap parti dan calon yang dipilih, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata langkah luar kotak yang diambil Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN akan memberi Iebih masa kepada kepimpinan parti untuk melakukan proses ‘pemujukan’ terhadap mana-mana pemimpin di sesuatu kawasan yang tidak dipilih sebagai calon.
“Ia sekali gus berupaya menjauhkan unsur sabotaj yang biasa terjadi sebelum ini apabila mereka yang berpengaruh tidak dicalonkan, mempengaruhi jentera parti untuk tidak melaksanakan tugas dalam kempen pilihan raya yang sedang berlangsung,” katanya dalam sidang media selepas menyertai rakaman program bual bicara ‘Orang Diparol’ di Studio AlHijrah di sini hari ini.
Dalam sidang media bersama wartawan Malaysia di Sydney, Australia semalam, Najib berkata BN mungkin akan mengumumkan calon bagi PRU14 lebih awal berbanding dua atau tiga hari sebelum PRU seperti diamalkan selama ini. – BERNAMA