SUNGAI PETANI – Pusat pemindahan banjir kekal tidak relevan dibangunkan biarpun di kawasan yang sering dilanda banjir, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah Datuk Tajul Urus Mat Zain.
Tajul Urus, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Dawai, berkata ini kerana pusat pemindahan itu hanya digunakan ketika berlaku bencana banjir, bukannya pada sepanjang masa, malah pengwujudan pusat pemindahan kekal akan melibatkan kos yang tinggi.
“Pusat pemindahan sementara yang dibuka ketika banjir seperti di sekolah, dewan serba guna atau masjid sudah cukup baik dari segi kelengkapan dan akses bagi saluran bantuan… melainkan kerajaan negeri bersedia membeli sekeping tanah dan penduduk yang terjejas bersetuju untuk pindah ke tempat tersebut,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan wang ihsan bencana banjir peringkat daerah Kuala Muda di sini hari ini ketika diminta mengulas tentang keperluan mewujudkan pusat pemindahan banjir yang kekal.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Bencana Negara (NADMA Malaysia) Datuk Muhammad Yusoff Wazir.
Tajul Urus berkata perkara paling berkesan dilakukan adalah dengan menyediakan kelengkapan terbaik di pusat pemindahan sementara sedia ada di samping langkah membersihkan sungai secara berjadual oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran.
Beliau berkata kerja memindahkan penduduk ke kawasan baharu bukan mudah kerana banyak aspek akan diambil kira penduduk sebelum mereka berpindah terutama sama ada dekat atau jauh dari tempat kerja mereka.
Pada majlis itu, seramai 648 orang yang terjejas akibat banjir pada November tahun lalu menerima sumbangan berjumlah RM500 bagi setiap isi rumah. – BERNAMA