BANTING – Pengwujudan pusat pengumpulan hasil ladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat di Telok Panglima Garang di sini, sejak 2015 ternyata banyak membantu meningkatkan hasil pendapatan dan taraf hidup petani kecil di sekitar.
Sebelum penubuhan pusat oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu petani di sekitar daerah ini memasarkan sendiri hasil pertanian mereka dan kadangkala tertipu ekoran manipulasi orang tengah.
Seorang petani yang mengusahakan tanaman cili, Riduan Sahid, 52, mengakui sebelum wujudnya pusat pengumpulan itu, keadaan agak sukar bagi beliau memasarkan hasil pertaniannya kerana perlu keluar dan mencari orang tengah atau peniaga yang berminat.
“Ramai peruncit atau orang tengah mahu dengan harga sangat rendah antara RM3 hingga RM5 sekilogram (kg), alasannya ia sukar dijual atau sudah banyak stok cili dalam pasaran. Petani kecil-kecilan seperti saya mahu tidak mahu terpaksa jual juga kerana hanya tanaman ini punca pendapatan kami.
“Kadangkala saya perlu pergi ke lima hingga enam kedai sehari hanya untuk menjual hasil tanaman saya dan ini secara tidak langsung meningkatkan kos perbelanjaan saya.
“Selain menjimatkan kos, penubuhan pusat pengumpulan ini banyak membantu saya terutama dalam memasarkan hasil tanaman. Pusat ini membolehkan pendapatan saya meningkat antara 20 ke 30 peratus sejak itu,” katanya kepada Bernama.
Pengerusi PPK Kuala Langat Dr Abdul Razak Kasbullah berkata ketika awal penubuhannya, pusat pengumpulan itu hanya menerima 174 kilogram (kg) hasil tanaman daripada lima petani.
Kini ia membantu memasarkan kira-kira empat tan hasil tanaman antaranya cili, timun serta pelbagai sayuran lain sehari dan ketika musim puncak menerima hingga 7.6 tan sehari daripada kira-kira 400 petani.
Beliau berkata hasil tanaman yang dikumpul akan dipasarkan ke pasar raya besar, kilang sos cili, dan kedai runcit di sekitar daerah ini serta Lembah Klang, selain dipasarkan ke Pasar Borong Selangor dan Pasar Borong Selayang.
“Dengan pasaran lebih luas, petani yang menghantar hasil tanaman di sini menerima bayaran lebih tinggi berbanding dahulu. Sebagai contoh harga bagi sekilogram cili di sini kami beli dengan harga RM9.50 daripada petani dan pembayaran dilakukan dua kali seminggu.
“Di sini kita menggunakan konsep ‘pooling price’, atau harga purata iaitu kami akan rekodkan semua harga jualan kepada semua pasar dan puratakannya. Nilai itu adalah harga yang kami beli daripada petani yang menghantar hasil tanaman ke sini dan konsep ini sama seperti yang diamalkan di Jepun,” katanya.
Abdul Razak berkata pusat itu juga menyediakan kursus latihan penanaman cili kepada sesiapa yang berminat untuk menceburi bidang pertanian yang sememangnya menjanjikan pendapatan lumayan jika diusahakan dengan betul.
Katanya kelas sehari yang dianjurkan dua kali sebulan itu hanya boleh menempatkan 50 peserta pada satu masa berikutan kekangan ruang di pusat itu.
“Bagaimanapun suka saya beritahu Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Perancang Ekonomi telah bersetuju menyalurkan dana berjumlah RM5 juta bagi menaik taraf pusat ini menjadi bangunan tiga tingkat. Kelak kami akan mempunyai lebih banyak kelas dan dapat melatih lebih ramai individu,” katanya.
Seorang pengusaha cili yang juga bekas peserta kursus, Mohd Sabri Maeran, 48, berkata beliau tertarik mengikuti kursus yang disediakan di pusat pengumpulan itu selepas melakukan beberapa pencarian di internet.
“Selepas bersara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia kira-kira tiga tahun lepas, saya tercari-cari apakah pekerjaan lain yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan. Selepas buat pencarian dalam Internet saya dapati tanaman cili boleh memberi pendapatan lumayan jika dilakukan dengan betul dan pusat ini ada sediakan tempat untuk berkursus,” katanya.
Beliau kini mempunyai 1,000 pokok cili yang ditanam di tanah seluas 0.1 hektar kepunyaannya di Jalan Kebun, Shah Alam.
“Ini merupakan musim ketiga saya tanam cili. Untuk semusim saya tuai kira-kira tiga tan cili, cukup bagi menampung saya sekeluarga,” katanya. – BERNAMA