SINTOK – Alunan ayat-ayat suci al-Quran yang dibaca 400 peserta program World #QuranHour bergema di setiap sudut Masjid Sultan Badlishah, Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini.
Program itu, yang julung kalinya dianjurkan UUM dengan kerjasama Pejabat Mufti Kedah, bermula pada 9.15 pagi dengan bacaan surah al-Fatihah disusuli surah al-Baqarah dan surah al-Luqman oleh mahasiswa UUM.
Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadhil Awang berkata program bertema ‘Indahnya Hidup Bersama al-Quran’ itu diharap dapat menerapkan amalan membaca dan menghayati al-Quran dalam diri kalangan warga UUM.
“Kita perlu mendekatkan diri dengan al-Quran dalam kehidupan dan menjadikan ia sebagai amalan harian kerana di zaman serba moden ini, ramai yang kerap membuka telefon bimbit daripada membuka dan membaca al-Quran.
“Sibuk mana sekalipun dalam lehidupan harian, janganlah sesekali tinggalkan al-Quran dan terapkan budaya membaca al-Quran ini dalam kalangan keluarga supaya memperoleh hidup yang berkat,” katanya semasa berucap merasmikan Program UUM Al-Quranhour di sini.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM Prof Madya Dr Abdul Malek Abdul Karim. – BERNAMA