Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

PABM 2015: Bahasa Melayu...

SEMPENA Pertandingan Pidato Antarabangsa 2015 (PABM 2015) yang akan berlangsung bermula 4 Ogos...

Raja Muda Selangor Sertai...

KLANG - Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan...

LHDNM Berjaya Agih Ribuan...

LHDNM Berjaya Agih Ribuan Bakul Makanan

Siasatan Ke Atas CEO...

KUALA LUMPUR - Siasatan ke atas Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda...

Rakyat N.Sembilan Sentiasa Berpeluang Beli Rumah Mampu Milik

SEREMBAN – Dasar Perumahan Negeri Sembilan (Dasar Perumahan NS) yang menekankan pembinaan rumah mampu milik adalah satu bentuk jaminan kerajaan negeri kepada rakyat bahawa mereka sentiasa berpeluang memiliki kediaman sendiri.

Ia umpama suatu ‘rang jaminan’ bahawa rumah mampu milik akan sentiasa dibina bukan sahaja oleh kerajaan tetapi juga pemaju swasta, dengan pelaksanaan dasar mewajibkan 50 peratus rumah yang dibina adalah rumah mampu milik.

Isu perumahan yang sering menjadi topik bualan hangat rakyat di negara ini menjadi antara keutamaan kerajaan Negeri Sembilan yang diterajui Barisan Nasional.

Menjadi satu-satunya negeri yang melaksanakan dasar perumahan sendiri, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Dasar Perumahan NS dilaksanakan berikutan beliau merasakan dasar perumahan sedia ada yang mewajibkan pemaju membina 30 peratus rumah kos rendah daripada keseluruhan projek pembangunan, sudah tidak relevan.

“Kita satu-satunya negeri yang tak pakai Dasar Perumahan Negara. Pada 2015 saya bawa ke dewan dan diluluskan sebulat suara bahkan pembangkang pun setuju. Kita mewajibkan semua pemaju mesti membina sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah yang nak dibina dalam bentuk rumah mampu milik dan tak perlu lagi bina rumah kos rendah.

“Rumah kos rendah yang hanya mempunyai satu bilik sudah tidak sesuai untuk didiami lagi,” katanya dalam satu temu bual ekslusif dengan Bernama baru-baru ini.

Di bawah Dasar Perumahan NS, pemaju diwajibkan membina rumah mampu milik dalam tiga kategori iaitu kategori A sebanyak 20 peratus yang berharga di bawah RM80,000, kategori B sebanyak 20 peratus berharga bawah RM250,000 dan selebihnya rumah berharga RM400,000 dan ke bawah.

Ia juga mensyaratkan setiap rumah mestilah kediaman bertanah dengan keluasan tidak kurang 800 meter persegi, selain menetapkan kuota pemilikan rumah Bumiputera sebanyak 50 peratus, memandangkan 70 peratus penduduk di negeri ini adalah Melayu dan Bumiputera.

Mohamad berkata Negeri Sembilan adalah negeri berusia muda dengan 48 peratus daripada 1.117 juta rakyatnya berusia dalam lingkungan belia.

“Rumah mampu milik memang banyak dia punya permintaan. Rakyat tidak perlu bimbang oleh sebab pada bila-bila masa, mana-mana saja ada pembangunan rumah (yang) dibuat oleh swasta akan ada rumah mampu milik,” katanya.

Ditanya bagaimana beliau mengimbangkan di antara keperluan rakyat dan permintaan industri, Mohamad berkata kerajaan sentiasa mendahulukan rakyat.


​​​​​​​”Bagi saya, rakyat didahulukan, (bagi) perniagaan atau industri, jika mereka mahu menjalankan perniagaan di Negeri Sembilan, mereka mesti mematuhi keperluan setempat. Walaupun pada mulanya ada yang membantah dasar ini, tetapi bila kami perjelaskan dengan baik bahawa anda (pemaju) tidak lagi perlu membina rumah kos rendah sebab sebelum ini, rumah yang anda bangunkan itu tiada pembeli.

​​​​​​​“Sekarang dengan dasar ini, rumah mampu milik yang dibina sentiasa habis dijual. Ada lebih 9,000 senarai menunggu dalam Unit Perumahan Negeri Sembilan yang hendak membeli rumah mampu milik Jenis A. Jadi, anda perlu membina rumah yang anda boleh jual,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Datuk Jalaluddin Alias berkata sejak dilancarkan hingga Disember tahun lepas, sebanyak 10,888 rumah mampu milik yang telah, sedang dan akan dibina di negeri ini.

“Keperluan rumah untuk rakyat meningkat dari semasa ke semasa, tetapi keperluan ini terhalang dengan harga rumah yang semakin meningkat. Bila kerajaan tengok, ini merupakan satu lagi perkara yang harus kita laksanakan untuk tampung keperluan rakyat dan kerana itu kita buat Dasar Perumahan NS yang memberi jaminan kepada golongan muda dan mereka yang berpendapatan RM3,500 ke bawah untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Jalaluddin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pertang, berkata Portal Perumahan Negeri Sembilan yang dilancarkan November tahun lepas, menjadi pelengkap kepada dasar ini.

​​​​Melalui portal ini, https://perumahan.ns.gov.my, pemaju dan pembeli hartanah boleh melakukan transaksi jual-beli secara tepat masa selain membantu memudahkan pembeli kerana orang ramai boleh mengakses ke portal mengikut kawasan, harga dan reka bentuk sebelum membuat tempahan.

Rumah mampu milik Jenis A yang berharga RM80,000 turut diiklankan melalui portal ini tetapi borang permohonan dan kelayakan untuk membeli akan diproses dan dipantau oleh Unit Perumahan Kerajaan Negeri Sembilan bagi memastikan hanya mereka yang layak seperti pembeli rumah pertama dan pendapatan isi keluarga di bawah RM3,500, boleh memiliki rumah ini.

Jalaluddin berkata sejumlah 1,565 unit rumah mampu milik yang terletak di Mambau, Seremban, Gemencheh dan Kuala Pilah, telah diiklankan di dalam portal ini.

​​​​​​​”Sambutan yang diterima amat menggalakkan di mana sembilan pemaju sudah berdaftar untuk mengiklankan rumah yang mereka jual melalui portal ini,” katanya. – BERNAMA

Kategori