TIDAK dapat dinafikan, industri muzik negara kini meriah dengan kehadiran penyanyi-penyanyi baharu yang muncul pada masa yang sama.
Penyanyi-penyanyi seperti Aiman Tino, Khai Bahar, Haqiem Rusli, Tajul, Wany Hasrita dan beberapa lagi dilihat mula menempa nama dalam industri muzik negara sekitar dua tahun lalu.
Lambakan penyanyi muda ini ditambah dengan penyanyi senior yang sudah mempunyai nama dalam industri menjadikan industri itu kini penuh persaingan.
Perkara yang menjadi persoalan di kalangan masyarakat adalah kualiti yang ditampilkan sekumpulan penyanyi muda yang juga dikenali sebagai ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) ini kadangkala tidak mencapai standard yang diinginkan.
Bagi segelintir netizen, hanya sebilangan kecil daripada mereka mempunyai pakej yang lengkap untuk menjadi penghibur berkualiti di masa hadapan.
Tidak kurang juga daripada mereka yang melalu jalan yang boleh dikatakan mudah untuk bergelar penyanyi hanya kerana mempunyai pakej rupa yang menarik.
Perkara tersebut seperti dipersetujui Tomok, seorang penyanyi yang sudah lama bertapak dalam industri muzik negara.
“Sejujurnya, saya sangat gembira dengan perkembangan bakat-bakat baru dalam indutri ini tapi yang berkualiti itu sebenarnya memang boleh dikira.
“Bukanlah bermaksud yang ini tidak berkualiti, ada, cuma masih belum mencapai (tahap terbaik). Sekarang ini pun kalau kita lihat nak jadi artis itu lebih senang berbanding dahulu,” katanya memetik portal Media Hiburan.
Tambah Tomok, dia bukan bermaksud segelintir penyanyi-penyanyi baru ini tidak mempunyai bakat, sebaliknya mereka perlu bekerja lebih keras untuk mengasah bakat yang ada.
“Pesan saya, gunakan platform yang ada ini untuk cari ilmu lebih lagi. Bagi saya, penyanyi macam Haqiem Rusli dan Aiman Tino, mereka berbakat, ada potensi, begitu juga yang lain,” jelasnya.
Ada benarnya kata Tomok ini, memandangkan dia sendiri sudah menceburi bidang nyanyian sejak di bangku sekolah apabila menjadi vokalis untuk kumpulan New Boyz.
Mengulas mengenai perkembangan terbarunya, Tomok berkata dia kini sedang dalam perancangan untub melancarkan album solo terbaharunya yang akan dilengkapi 10 buah lagu.
Selain itu, Tomok juga bercadang untuk menghasilkan single baru untuk kumpulan New Boyz namun berdepan kekangan memandangkan mereka semua mempunyai karier tersendiri.
“Album tersebut masih dalam proses, masih dalam perbincangan lagi. InsyaAllah akan ada 10 lagu.
“Sebenarnya saya nak ada lagu baru untuk New Boyz tapi masalahnya adalah masing-masing dah gerak sendiri, jadi susah nak kumpulkan semua semula.
“Lagipun yang masih dalam industri saya seorang sahaja, lain semua dah keluar, tapi saya memang nak ada macam reunion News Boyz itu,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/EZ