SEKEPING gambar dimuat naik tertulis ‘lelaki dari planet lain’ oleh seorang pengguna Instagram pada Sabtu lepas telah tular sehingga mencuri tumpuan ramai untuk ketahui lebih lanjut.
Hal tersebut dilakukan oleh pemilik akaun sosial berkenaan, Nur Anis Aqilah yang memberitahu bahawa lelaki yang dimaksudkan adalah rakannya sendiri, Muhammad Ihsan Thaqif Bahter Nasir, 18.
Thaqif telah memperoleh kejayaan luar biasa dengan cemerlang 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru diumumkan pada Khamis minggu lepas sebagai calon persendirian.
Beliau yang juga penuntut Kolej Mara Banting (KMB), Selangor turut mendapat Anugerah Kepujian dalam peperiksaan semester lalu.
Lapor portal mStar, Thaqif ditawarkan mengikuti jurusan Baccalaureate Antarabangsa (IB) di KMB selepas memperoleh keputusan cemerlang 6A dalam Program Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) ketika di Tingkatan Empat, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak, 2017.
Anak kepada pasangan doktor dan guru itu turut memberitahu, beliau tidak mempunyai apa-apa tips yang khas bagi mendapatkan keputusan cemerlang. Namun, menyatakan kejayaan yang peroleh datang pada diri sendiri.
Thaqif mengakui banyak mengorbankan waktu rehat dan riadah demi mengulang kaji pelajaran dengan azam mahu berjaya dan menabur bakti kepada negara.
“Saya fikir jika miliki SPM, peluang saya untuk sambung pelajaran dalam bidang yang saya minati lebih cerah dan saya bercita-cita ingin menjadi saintis yang berkaitan dengan bidang fizik,” ujarnya.
Thaqif yang juga seorang pemegang biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) terpaksa mencuri masa untuk mengulang kaji sembilan mata pelajaran SPM dan enam lagi subjek dalam jurusan IB secara serentak.
Pencapaian menakjubkan remaja tersebut turut mendapat perhatian selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa yang menyifatkan kejayaannya itu adalah bukti kejayaan akan datang seiring dengan kerja keras.
“Kejayaan tidak akan datang kepada anda, anda yang perlu pergi ke arahnya. Menakjubkan, kisah inspirasi dan semoga maju jaya kepada pelajar pintar ini!,” tulis pengacara itu dalam akaun Instagram miliknya yang dimuat naik semalam. – MYNEWSHUB.CC/MIZE
*Video sekadar hiasan…