Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Datuk Siti Nurhaliza Berharap...

HAMPIR 10 tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza...

Laporan Sarawak Report Hanya...

KUALA LUMPUR - Rakyat diminta untuk tidak mempercayai sebarang laporan yang dikeluarkan oleh...

Dakwa Mahdi Di Sabah,...

PADANG RENGAS : Polis menyiasat pemilik akuan Facebook yang mendakwa kononnya Imam Mahdi...

ADUN Sungai Tawar Dilantik...

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail...

RM20 Juta Laksana Komuniti Pintar Kota Belud 2.0

KOTA BELUD – Perbelanjaan tambahan sebanyak RM20 juta akan digunakan bagi melaksanakan inisiatif Komuniti Pintar Kota Belud 2.0 bagi menambah baik Komuniti Pintar Kota Belud 1.0 yang dilaksanakan sejak tahun 2016.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang melancarkan inisiatif Komuniti Pintar Kota Belud 2.0 di sini hari ini berkata RM20 juta berkenaan merupakan tambahan kepada RM70 juta yang telah dibelanjakan pihak kerajaan dan swasta semasa pelaksanaan inisiatif pertama yang lepas.

“Hasil perbincangan antara saya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pejabat daerah dan syarikat swasta, inisiatif itu akan terus ditambah baik di bawah Komuniti Pintar Kota Belud 2.0 dengan anggaran perbelanjaan tambahan RM20 juta.

“Ini merangkumi beberapa program utama seperti mewujudkan inisiatif penyelesaian keselamatan pintar dengan kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Belud, penambahbaikan Sistem Pemantauan Keselamatan dan Paras Air Sungai (SAIFON) sedia ada serta meningkatkan capaian komunikasi yang lebih baik di Kota Belud melalui penyediaan akses jalur lebar berkelajuan tinggi rangkaian tetap dan tanpa wayar,” katanya.

Salleh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata demikian ketika berucap merasmikan inisiatif itu di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi MCMC Tan Sri Dr Halim Shafie, Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Seri Hasim Ismail, ADUN Tempasuk Datuk Musbah Jamli, ADUN Kadamaian Ukoh@Jeremy Malajad dan Pegawai Daerah Kota Belud Abdul Gari Itam.

Menurut Salleh, di bawah Komuniti Pintar 2.0 berkenaan, sebuah pusat penempatan banjir yang dilengkapi dengan keupayaan digital dikenali sebagai ‘Digital Hall’ bakal diwujudkan dan ia akan berfungsi sebagai sebuah fasiliti yang boleh menyediakan kemudahan capaian Internet serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk kegunaan orang ramai.

“Penambahbaikan infrastruktur komunikasi di bawah Komuniti Pintar Kota Belud 2.0 turut akan melibatkan teknologi baharu yang dikenali sebagai perkhidmatan ‘Tanpa Wayar Ke Rumah’ atau ‘Wireless To The Home’ dengan singkatan sebagai teknologi WTTx. Ini bagi membantu meningkatkan capaian Internet berkelajuan tinggi di premis kediaman di Kota Belud.

“WTTx menggunakan teknologi jalur lebar tanpa wayar yang boleh menawarkan kelajuan antara 20 Mbps hingga 40 Mbps. Dengan penawaran perkhidmatan Internet jalur lebar tanpa wayar melalui teknologi WTTx oleh Telekom Malaysia, ia diharap akan memberi penyelesaian kepada masalah kesukaran untuk menyediakan infrastruktur rangkaian telekomunikasi melalui teknologi yang menggunakan wayar atau kabel di negara ini,” katanya.

Mengimbas kejayaan dicapai di bawah inisiatif Komuniti Pintar Kota Belud 1.0, Salleh berkata banyak perubahan ketara dapat dilihat terutama penambahbaikan infrastruktur telekomunikasi di Kota Belud sehingga penduduk daerah itu dapat menikmati jalur lebar 3G dan 4G lebih baik.

Katanya hasil inisiatif berkenaan telah menjadikan pulau tumpuan pelancong di Kota Belud iaitu Pulau Mantanani turut menikmati liputan jalur lebar selular 3G selain menjadikan Kota Belud antara daerah terawal di Malaysia menerima liputan LTE-Advanced.


“Kemudahan Internet berkelajuan tinggi Unifi kini dapat dilanggan komuniti Pekan Kota Belud, hasil kerjasama dengan pihak Telekom Malaysia. Sehingga Februari 2018, sebanyak 832 port telah disediakan untuk dilanggan dan saya menyeru orang ramai agar memanfaatkan kemudahan Internet yang lebih laju ini sepenuhnya,” kata Salleh.

Menurut Salleh, sejak inisiatif berkenaan dilaksanakan juga, sebanyak enam Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Kota Belud diwujudkan MCMC untuk merapatkan jurang digital dalam memastikan masyarakat Kota Belud tidak ketinggalan daripada kepesatan perkembangan teknologi.

Katanya PI1M turut menyediakan pelbagai latihan dan program literasi ICT yang memberi manfaat kepada penduduk setempat, selain meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk melalui pelbagai latihan keusahawanan dan sebagainya.

Salleh berkata inisiatif berkenaan juga telah memberi peluang kepada pelajar dan guru di Kota Belud mempelajari penghasilan kandungan digital melalui Program Majalah Sekolah Digital (e-Majalah) dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila terpilih sebagai juara Hadiah Projek Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Masyarakat Bermaklumat 2018 (WSIS PRIZES 2018) yang akan berlangsung di Geneva, Switzerland pada 19 hingga 23 Mac ini.

Salleh berkata inisiatif berkenaan juga membolehkan beberapa agensi lain seperti Pos Malaysia dan Bank Negara Malaysia turut memperkenalkan perkhidmatan masing-masing berasaskan teknologi digital di Kota Belud.

Salleh berkata beliau yakin segala penambahbaikan yang telah dilaksanakan di bawah Inisiatif Komuniti Pintar berkenaan telah banyak mengubah kehidupan penduduk di Kota Belud ke arah yang lebih baik.

“Objektif paling penting daripada Inisiatif Komuniti Pintar ini adalah untuk memanfaatkan kelebihan platform ICT bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti kehidupan. Ini sejajar dengan matlamat kerajaan ke arah menuju Negara Pintar dan Transformasi Nasional 2050. Dengan adanya usaha yang berterusan, Kota Belud bakal menjadi daerah pintar pertama di Sabah ini, insya-Allah,” katanya. – BERNAMA

Kategori