SUNGAI PETANI – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberikan khabar gembira apabila meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk membangunkan 12 projek penempatan semula nelayan di seluruh negara.
Najib berkata projek berkenaan sebagai merealisasikan pelan transformasi yang dilaksanakan kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
“Bila kita sebut perkataan transformasi kita tidak mahu para nelayan menjadi orang yang terkecuali atau yang terpinggir atau orang tidak merasai proses transformasi ini.
“Sebab itu saya ingin kalau negara maju ke hadapan, para nelayan di seluruh negara juga perlu maju ke hadapan bersama dengan pihak lain,” katanya ketika Merasmikan Taman Perumahan Nelayan Muafakat Kedah di Tanjung Dawai dekat sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Dawai Datuk Tajul Urus Mat Zain.
Perdana Menteri berkata hanya kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menjaga kebajikan dan prihatin dengan nasib golongan itu.
“Transformasi ini dibawa UMNO dan rakan-rakan kita BN. Kalau nak mengharapkan pembangkang tengok manifesto dan dasar mereka.
“Tiada satu pun sebut dalam ucapan mereka untuk membela orang kampung dan nelayan. Yang buat adalah kerajaan BN,” katanya.
Mengenai projek perumahan di Tanjung Dawai itu, Najib berkata projek perumahan tersebut merupakan yang pertama di negara ini sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
“Tambah lagi dengan subsidi saraan nelayan sebanyak RM200 hingga RM300, misalnya dapat RM250 ditolak dengan harga sewa rumah, ia umpama dapat rumah percuma untuk mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan meluluskan RM147 juta untuk menaik taraf Loji Rawatan Air Bukit Selambau iaitu daripada 30 juta liter sehari (mld) kepada 70 mld dengan projek naik taraf tersebut akan bermula April nanti.
Beliau berkata selain itu dalam perancangan adalah melaksanakan projek membaik pulih menara tangki air dan penggantian paip di kawasan Merbok dan Tanjung Dawai yang melibatkan kos RM19 juta serta pembinaan ‘off- river storage’ (ORS) iaitu simpanan air di tebing Sungai Merbok dengan peruntukan RM50 juta.
“(Selain itu), atas permintaan Datuk Tajul supaya Kompleks LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) di Tanjung Dawai ini dinaik taraf, saya meluluskan RM6 juta untuk naik taraf Kompleks LKIM ini,” katanya. – BERNAMA