KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan meluluskan peruntukan lebih RM24 juta melalui Program Tabung Penyelenggaraan 1Wilayah (TP1W) bagi menyelenggara perumahan kos rendah bermula tahun ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata penyelenggaraan itu memberi tumpuan kepada skop kerja kritikal termasuk membaiki bumbung, pendawaian elektrik serta baik pulih lif dan tangki air.
“Penyelenggaraan ini akan melibatkan lima kawasan Parlimen di ibu negara iaitu di Wangsa Maju, Cheras, Bandar Tun Razak, Setiawangsa dan Lembah Pantai.
“Saya berharap pelaksanaan projek ini dapat menyelesaikan masalah kerosakan seperti kebocoran bumbung dan lain-lain,” katanya semasa merasmikan Program Komuniti Ceria di sini, hari ini.
Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi menangani isu kos sara hidup dan membantu mengurangkan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO yakin Barisan Nasional (BN) tidak akan tergugat dengan tindakan pembangkang yang cuba memecahbelahkan solidariti dalaman parti itu.
“Tiada sebarang masalah yang berlaku dalam BN. Segala sabotaj atau fitnah ini semua kerja-kerja pembangkang, sudah tentu mereka akan menuduh kami (BN) ada masalah dalaman.
“…sekarang musim Pilihan Raya Umum, pasti macam-macam berlaku,” katanya mengulas dakwaan sabotaj terhadap Anggota Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Menteri Kewangan Kedua baru-baru ini.
Ini susulan gegantung yang tertera gambar beliau tersebar di laman sosial baru-baru ini. – BERNAMA