KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM500,000 untuk menaik taraf fasiliti dan infrastruktur Pasar FRI Kepong termasuk sistem aliran longkang, pendawaian lampu, kipas dan pengudaraan serta paip bekalan air.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerja-kerja menaik taraf pasar itu akan memberi manfaat kepada 74 peniaga selain memberi keselesaan kepada pengunjung.
“Saya telah meninjau pasar ini dan dimaklumkan ia sudah beroperasi lebih 100 tahun. Kita akan lakukan apa yang patut untuk memperbaiki pasar yang usang dan lama ini,” katanya selepas melakukan tinjauan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong di sini, hari ini.
Projek menaik taraf pasar itu akan bermula 15 Mac ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.
Selain itu, beliau berkata DBKL turut membina tempat letak kereta bertingkat di PPR Pekan Kepong yang mampu memuatkan 372 kenderaan untuk kemudahan penghuni.
Ia turut dilengkapi surau, tandas, sistem kawalan kamera litar tertutup, lif, gelanggang futsal dan badminton, dewan serba guna, bilik komputer dan perpustakaan. – BERNAMA