TINDAKAN pengacara, Neelofa memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak di atas kesilapannya ternyata mendapat pujian daripada pengarah terkenal, Datuk Rosyam Nor.
Difahamkan, permohonan maaf itu dipercayai dibuat berikutan keterlanjuran tindakannya mengadakan majlis pelancaran koleksi hijab di sebuah kelab malam ternama ibu kota, baru-baru ini.
Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin beranggapan mohon maaf itu adalah langkah yang terbaik.
“Kadang-kadang, ada perlakuan kita tak sedar ia salah di mata orang lain. Paling bagus, mohon maaf dan apabila seseorang sudah meminta maaf, kita sebagai masyarakat terima dengan terbuka,” katanya dipetik Harian Metro, hari ini.
Dalam pada itu, Rosyam turut memuji sikap ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dan peminat seni yang mudah memaafkan orang lain.
“Itulah yang seronoknya dengan peminat dan rakyat Malaysia. Sikap saling memaafkan patut dipuji,” kata Rosyam lagi.
Sehubungan itu, Rosyam menggesa dan berpesan kepada semua pihak termasuk rakan-rakan artis yang lain supaya berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara.
“Kepada semua mereka, tidak kiralah sama ada artis lama atau baru, saya berpesan kepada diri sendiri supaya sentiasa berfikir semasak-masaknya sebelum melakukan sesuatu.
“Zaman teknologi maklumat (IT) dan digital sekarang, semuanya sudah berbeza. Kadang-kadang, kita tak sangka benda yang kita lakukan atau anjurkan akan mendapat kecaman.
“Tapi kerana kepesatan teknologi, kita takkan tahu kalau ada orang sekeliling akan sentiasa melihat, merakam dan sebagainya, sekaligus menjadikan sesuatu kita lakukan itu, tular,” ujar Rosyam yang juga merupakan pengacara program realiti Da’i.
Pada Isnin lalu, majlis pelancaran koleksi tudung terbaru Naelofar Hijab iaitu #BeLofa mendapat kritikan hebat pelbagai pihak apabila ia diadakan di sebuah kelab malam.
Ekoran itu, Neelofa menerima kecaman hebat berikutan dianggap kurang sensitif apabila mengadakan majlis perlancaran itu di pusat hiburan yang sinonim dengan gejala negatif seperti pergaulan bebas dan pengambilan alkohol. – MYNEWSHUB.CC/AM