JELEBU – Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Lembaga Perindustrian Kelapa dan Nanas yang bertujuan bagi memperkasakan sektor itu akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata RUU tersebut kini dalam proses draf dan semakan sebelum dibentangkan dalam Kabinet untuk diluluskan.
“Kerja-kerja ke arah itu sedang dijalankan kerana ia melibatkan proses undang-undang dan akta baru ni perlu dibentangkan di Parlimen.
Sekarang ini, yang ada hanyalah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) sahaja manakala kelapa ditadbir secara berasingan dan tidak ada lembaga pembangunan yang khas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat projek penanaman nanas di sini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Jelebu Datuk Jalaluddin Alias, Pengerusi LPNM Datuk Samsolbari Jamali dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Bakar.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata kelapa dan nanas kini dilihat sebagai sumber kekayaan baharu selepas durian musang king dan mendapat permintaan tinggi daripada beberapa negara luar.
“Contohnya nanas MD2, ia mendapat permintaan tinggi daripada negara China, Timur Tengah, Jepun dan Korea.
“Bagi kelapa pula, kita mengimport 151 juta biji kelapa setahun membabitkan nilai RM226 juta dari negara jiran bagi menampung permintaan kelapa dalam negara yang dianggarkan sebanyak 700 juta biji setahun,” katanya.
Ahmad Shabery berkata program sumber kekayaan baharu, sejumlah RM27.5 juta diperuntukkan untuk pembangunan industri kelapa dan RM29.6 juta bagi pembangunan industri nanas, tahun ini.
Ahmad Shabery berkata tanaman nanas dan kelapa akan diperluaskan dan diperbesarkan di seluruh negara dan daerah Jelebu yang memiliki struktur muka bumi berbukit bukau membolehkan nanas yang dihasilkan adalah luar biasa dari segi kemanisannya.
“Setakat ini, ladang nanas terbesar terletak di Johor. Kita harap suatu hari nanti kita boleh eksport kelapa juga.
“Kita kena ubah pemikiran lama kita iaitu tanaman sekadar cukup untuk keperluan rakyat sebaliknya boleh dieksport ke luar negara,” katanya.
Katanya nanas jenis MD2 berpotensi meraih pendapatan sebanyak RM150,000 semusim manakala kelapa RM35,000 setahun, bagi satu hektar tanah.
“Projek integrasi tanaman kelapa dan nanas akan dapat memberikan pendapatan berganda kepada pekebun terlibat,” katanya. – BERNAMA