KOTA KINABALU – Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini melancarkan Kelab Sahabat Najib87 (N87) bagi zon satu pantai barat utara Sabah merangkumi Tuaran; Kota Belud; dan Kota Marudu, di sini.
Kelab Sahabat N87 yang telah dilancarkan di lima zon di Sabah sebelum ini menghimpunkan kira-kira 350 orang yang merupakan bekas anggota Pergerakan Pemuda UMNO yang sezaman dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dari tahun 1987 hingga 1993.
Salleh berkata beliau yakin dengan pengalaman politik dimiliki anggota kelab akan dapat membantu jentera Barisan Nasional (BN) menjelaskan isu-isu semasa sekali gus menangkis segala fitnah tidak berasas dilontarkan pihak pembangkang terhadap parti pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
“Mereka (anggota Kelab Sahabat N87) adalah kumpulan yang sejak dahulu lagi memang setia kepada perjuangan parti dan sudah tentu mereka akan membantu kita (BN) dalam menghadapi PRU14 nanti,” kata Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia kepada pemberita selepas melancarkan kelab itu.
Keanggotaan Kelab Sahabat N87 itu kini telah mencecah sehingga 5,000 anggota di seluruh negara.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Timbalan Presiden Kelab Sahabat N87 Malaysia Datuk Seri Ahmad Ismail dan Pengerusi Kelab Sahabat N87 Sabah Mohd Zahari Mohd Zinin. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..