SEBAGAI seorang penyanyi dan komposer, perkara yang paling menyedihkan dan memilukan tentunya adalah apabila terdapat segelintir pihak yang memperlekehkan karya anda.
Begitulah yang dilalui oleh Aizat Amdan apabila terdapat segelintir pihak yang mendakwa single terbarunya, Sampai Ke Hari Tua mempunyai persamaan dengan lagu Surat Cinta Dari Starla nyanyian Virgoun.
Sebelum ini, single terakhir Aizat yang dicipta bersama Faizal Tahir dan Mike Chan itu juga dikatakan konon diciplak daripada lagu penyanyi China bernama Hua Chen Yu yang mendendangkan lagu berjudul King & Beggar.
Menurut Aizat, dia nyata terkejut akan dakwaan terbaharu dan menafikan yang lagu Sampai Ke Hari Tua diceduk daripada mana-mana karya sedia ada.
Tegas Aizat, dia sebenarnya mendapat inspirasi mencipta lagu bertemakan cinta itu melalui lagu evergreen nyanyian Man Bai, Kau Ilhamku.
“Saya sendiri terkejut apabila ada pihak menyamakan lagu itu dengan Surat Cinta Untuk Starla.
“Malah, ada juga yang mengatakan ia hampir sama dengan lagu Perfect oleh Ed Sheeran. Ia sebenarnya diinspirasikan daripada lagu Man Bai, Kau Ilhamku.
“Mungkin disebabkan mood dan liriknya yang agak serupa membuatkan lagu baharu saya itu kedengaran sama dengan karya dimaksudkan,” katanya lapor BH Online.
Jelas Aizat, lagu berkonsepkan perkahwinan yang sangat jarang didengari dalam industri muzik negara menyebabkan dia menghasilkan lagu tersebut.
Kata Aizat lagu berkonsep perkahwinan yang semakin berkurangan zaman ini perkara tersebut dilihatnya sebagai satu kekosongan yang perlu diisi olehnya.
“Tujuan asal lagu ini dicipta adalah untuk perkahwinan. Tajuknya saja sudah menggambarkan hubungan antara suami dan isteri.
“Saya rasa, semua orang yang sudah berkahwin atau sedang bercinta pastinya mahu sama-sama mengharungi cabaran dan kegembiraan sampai maut memisahkan mereka,” ujarnya.
Seiring dengan okjektif penghasilannya, lagu tersebut dipersembahkan Aizat buat julung kalinya ketika majlis resepsi pasangan sensasi ketika ini, Fattah Amin dan Nur Fazura pada 25 Februari lalu.
Melodi lagu yang tenang dan santai itu membuatkan lagu tersebut mendapat perhatian ramai selepas Aizat melancarkan muzik video lagu tersebut pertengahan bulan lalu.
Sehingga kini, muzik video Sampai Ke Hari Tua sudah ditonton lebih 470,000 kali di Youtube dan telah berjaya ‘menangkap’ perasaan sesiapa yang mendengar. – MYNEWSHUB.CC/EZ