PELAKON, Janna Nick beranggapan bahawa tindakan seorang personaliti Instagram atau ‘Instafamous’ yang memperlekehkan sebuah jenama telefon pintar baru-baru ini sebagai tidak matang.
Memetik laporan BH Online, Janna berkata perbandingan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana setiap orang mempunyai cita rasa yang berbeza termasuk dalam hal pemilihan jenama telefon pintar.
“Pada saya, hanya budak-budak sekolah yang belum matang suka memperlekeh dan membandingkan jenama sesebuah produk. Setiap orang ada cita rasa dan pilihan tersendiri.
“Saya sendiri lebih gemar memilih ciri-ciri yang ada pada sebuah telefon pintar, seperti skrin besar yang memudahkan kita untuk membuat kerja, kelajuan dan juga beratnya, berbanding hanya melihat pada jenama,” kata Janna yang juga duta kepada sebuah jenama telefon keluaran China.
Pun begitu, Janna turut berpendapat isu berkenaan tidak perlu diperbesarkan kerana ia adalah pandangan peribadi semata-mata.
Baca: ‘Perlekeh’ Samsung, Adik Neelofa Dikecam Berlagak
Terdahulu, seorang selebriti laman sosial menerima kecaman hebat gara-gara tindakan beraninya lantang bersuara memperlekehkan sebuah jenama telefon pintar keluaran Asia.
Tindakan itu disifatkan agak keterlaluan kerana individu berkenaan memperlekehkan jenama telefon pintar tersebut dengan melontarkan ayat yang dianggap seolah-olah menghina. – MYNEWSHUB.CC/AM