Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

Bayi Lelaki Masih Bertali...

KUALA TERENGGANU : Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu yang masih bertali pusat...

Perompak Terlena Di Rumah...

BANGKOK - Disebabkan terlalu letih, seorang perompak lelaki terlena di bilik tidur pemilik...

Curi Kereta ‘Showroom’ Di...

Kota Kinabalu : Dua lelaki yang dikehendaki polis selepas mencuri pacuan empat roda...

Mahkamah Putus Esok Kes...

MEMANG aneh namun jangan pula putar belit cakap macam-macam. Ini kerana biasanya jarang...

Sanusi Junid Sentiasa Punya Idea Luar Biasa, Pelik

KUALA LUMPUR – Tan Sri Sanusi Junid, yang meninggal dunia pagi tadi pada usia 74 tahun, adalah insan yang sentiasa mencetuskan idea luar biasa dan pelik, seperti menanam padi di atas bumbung, ketika beliau berkhidmat sebagai pemimpin kerajaan,

Kebanyakan idea itu dicadangkan semasa Allahyarham menjadi Menteri Pertanian dari 1986 hingga 1995 dan Menteri Besar Kedah yang ketujuh dari 1996 hingga 1999.

Dalam satu catatan blognya http://sanusijunid.blogspot.my, Sanusi menyatakan bahawa beliau mendapat idea menanam padi di atas bumbung semasa mengunjungi rakan lamanya di Taiwan, ketika beliau menyandang jawatan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

“Pada waktu saya menziarahinya, di rumah, saya ternampak pada hampir pukul 10 malam, isterinya keluar dengan dua buah timba kecil dan lampu suluh yang terikat di kepalanya dan apabila ditanya, isterinya memberitahu dia hendak bubuh baja dan menyiram padinya di luar. Saya terkejut apabila diberitahu bahawa padinya ditanam di atas bumbung sebagai hobi.

“Kerana pendedahan inilah, maka, apabila saya berpindah ke Kementerian Pertanian, saya meminta pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mencuba usaha menanam padi di atas bumbung.

“Usaha ini telah dilakukan oleh pihak MARDI di Seberang Prai. Apabila perkara ini dibocorkan kepada media massa maka, saya ternampak kritikan wujud di sana-sini yang memberi gambaran saya sudah kehilangan akal dan buntu fikiran,” kata Sanusi.

Menurutnya Ketua Pengarah MARDI ketika itu (Allahyarham) Tan Sri Mohd Yusof Hashim telah menyatakan bahawa percubaan itu berjaya tetapi kerana tanah terbiar masih banyak di Malaysia maka, rancangan itu difikirkan belum sampai masa untuk dilaksanakan.

Dan, beliau bersetuju dengan pendapat Mohd Yusof.

Bagaimanapun, ketika menyandang jawatan Menteri Besar Kedah, Sanusi melaksanakan program menanam padi di atas bumbung dengan projek rintisnya dilakukan di Kompleks Jihad Membasmi Kemiskinan di Paya Pahlawan, Jitra.

Di sebalik pelbagai kecaman dan kritikan sehingga digelar ‘projek lawak’, program menanam padi di atas bumbung itu dilaporkan berjaya apabila enam petak padi yang ditanam di atas bumbung kompleks berkenaan mengeluarkan hasil tuaian sebanyak 50 kilogram.

Selain menanam padi atas bumbung, banyak idea ganjil dan pelik yang dilontarkan Sanusi terutamanya ketika memimpin Kedah termasuk kempen mengurat isteri, kempen mencabut uban suami dan penganjuran ratu cantik haiwan.

“Orang nak tengok benda-benda ganjil,” katanya ketika itu semasa ditanya mengenai perancangan kerjaan negeri Kedah untuk mempopularkan negeri jelapang padi Malaysia itu sebagai destinasi pelancongan menarik di negara ini.

Dilahirkan di Yan, Kedah, pada 10 Julai 1943, Allahyarham Sanusi sememangnya mempunyai perancangan yang cukup bernas untuk membangunkan Kedah ketika era pentadbirannya.

“Perkara pertama yang saya lakukan bila sampai ke Kedah sebagai Menteri Besar ialah memberi gambaran matlamat pembangunan Kedah.

“Saya bandingkan Alor Setar, pusat pentadbiran negeri, sebagai Washington D. C.; Sungai Petani sebagai pusat perniagaan, sebagai New York; Kulim dengan Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech Park) sebagai Silicon Valley di California atau Route 128 di Massachussett; Langkawi sebagai pusat pelancongan, sebagai Florida.

“Kerja memberi gelaran ini agak mudah. Yang susah ialah bagaimana caranya untuk membangun sekitar Alor Setar yang tanahnya diguna untuk tananam padi tanpa mengurangkan kawasan tanaman padi,” katanya ketika itu.

Walaupun sinonim dengan idea-idea pelik, Sanusi yang merupakan ‘ulat buku’ dan fasih dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Jerman dan Perancis telah mencetuskan membangunkan Taman Pertanian Bukit Cerakah Shah Alam, ketika menjadi Menteri Pertanian.

Taman Pertanian itu diwujudkan sebagai ‘sekolah’untuk memberi tunjuk ajar kepada masyarakat khususnya golongan petani, nelayan dan penternak kaedah-kaedah pertanian bagi membantu mereka keluar dari kemiskinan.


Bukan sekadar sebagai sekolah untuk pertanian, Taman Pertanian itu telah menjadi pusat pelancongan yang popular bagi pelancong dalam dan luar negara di mana pada zaman kemuncaknya, ia menjadi destinasi kedua popular selepas ibu kota Kuala Lumpur.

Sanusi, yang merupakan seorang yang berpenampilan ringkas, mendapat pendidikan awal antara tahun 1954 hingga 1963 di Sekolah Melayu Yan, Sekolah Ibrahim, Sungai Petani dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Pada 1969, beliau melanjutkan pengajian ke Institute of Bankers London, City of London College dan Institute of Export London, selain memperoleh Sijil dalam Dagangan Asing dan Pertukaran Asing dari Universiti London.

Kerjaya Sanusi bermula di Standard Chartered Bank, Seremban sebagai pelatih pada 1963 sebelum dilantik menjadi Pengurus, Bahagian Pinjaman Perniagaan dan Pembangunan Luar Bandar, Standard Chartered Bank pada 1974.

Beliau kemudian menjadi Pengarah Bank Simpanan Nasional dan Pengerusi Syarikat Insan Diranto Bhd pada 1975 dan dua tahun kemudian dilantik sebagai Pengerusi Tugu Insurance Sdn Bhd dan Pengerusi Obanto Management Consultancy Sdn Bhd. Beliau juga adalah pengasas dan pengurus pertama Koperasi Shamelin.

Sanusi mula terbabit dalam bidang politik sebagai anggota UMNO Seremban pada 1963 dan memegang jawatan Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Seremban setahun selepas itu.

Pada 1966, beliau dilantik sebagai Bendahari UMNO Bahagian Seremban Timur dan menjadi Setiausaha dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Seremban Timur pada 1967.

Pada 1974 ketika berumur 31 tahun, Sanusi bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-5 dan menang tanpa bertanding kerusi Parlimen Jerai, Kedah.

Empat tahun kemudian, beliau bertanding dalam PRU ke-6 1978 bagi kerusi Parlimen Jerlun-Langkawi dan berjaya mempertahan kerusi Parlimen tersebut untuk tiga lagi PRU iaitu pada tahun 1982, 1986 dan 1990.

Pada 1990 beliau bertanding jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan parti pada tahun itu dan memperoleh 750 undi bagi tempat ketiga.

Bermula 1978 hingga 1995, Sanusi dilantik memegang pelbagai fortfolio kementerian antaranya Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Perpaduan dan Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Pertanian.

Pada PRU Ke-9, Sanusi bertanding di Dewan Undangan Negeri Kuah dan memenangi kerusi itu sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang ketujuh. Beliau menyandang jawatan itu dari 16 Jun 1996 hingga November 1999.

Selain aktif berpolitik, beliau turut diberi amanah memikul tanggungjawab lain termasuk sebagai Anggota Jemaah Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA) pada 1978 dan menjadi Anggota Penasihat Kobena dan Ahli Majlis Universiti Malaya pada 1982 dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2000.

Sanusi pernah menyandang jawatan Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC).

Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Nila Inangda Manyam Keumala dan dikurniakan tujuh anak. – BERNAMA

Kategori