CYBERJAYA – Jangkauan portal pengesahan maklumat Sebenarnya.my akan diperluaskan di media sosial seperti Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram bermula tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata langkah mempelbagaikan daya jangkauan dan kebolehkongsian maklumat portal tersebut bertujuan mencapai khalayak dan ruang lingkup pengguna media sosial yang lebih luas di negara ini.
“Ini bagi memperkasakan lagi saluran penyampaian maklumat berkaitan berita palsu atau berita yang tidak ditentusahkan di dalam negara terutamanya di platform media sosial,” katanya semasa melancarkan aplikasi mudah alih Sebenarnya.my pada majlis penghargaan rakan strategik portal itu, di sini hari ini.
Salleh berkata aplikasi itu yang ketika ini boleh dimuat turun secara percuma oleh pengguna Android melalui Google Play Store, diharap dapat memudahkan masyarakat menentusahkan maklumat yang mereka terima.
“Ketika ini pelbagai malumat dikongsi seperti di Whatsapp dan sudah menjadi tabiat kita tidak memeriksa (maklumat tersebut) dan kita pula sebarkan kepada orang lain. Jadi saya berharap aplikasi ini boleh membantu dalam hal seperti ini,” katanya.
Salleh berkata portal Sebenarnya.my telah merekodkan lebih 25 juta layaran (hits) dengan purata dua juta layaran setiap bulan sejak dilancarkan pada Mac tahun lepas.
Katanya angka itu memberi indikasi positif bahawa kesedaran dalam kalangan masyarakat dalam membudayakan amalan menyemak, menganalisis dan menentushakan berita yang mereka terima semakin meningkat.
“Ingin saya tekankan bahawa berita palsu adalah musuh negara. Ia boleh dilihat sebagai satu perang psikologi yang bertujuan untuk memperdaya masyarakat agar mempercayai berita tular yang palsu tersebut sebagai sahih,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Datuk Dr Mazlan Ismail dalam sidang media berasingan berkata pihaknya telah membuka akaun Facebook rasmi Sebenarnya.my dan bercadang membuka akaun sama di platform media sosial lain dalam tempoh terdekat.
“Sebelum ini kita cuma ada portal dan tidak menggunakan sepenuhnya platform media sosial. Jadi selepas ini kita akan perluaskan di media sosial di samping aplikasi yang kita lancarkan pada hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mazlan berkata pada tahun lepas, MCMC telah membuka 40 kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu, dengan empat kes telah dihadapkan di mahkamah.
Katanya MCMC turut melaksanakan tindakan sekatan terhadap 34 laman sesawang, portal dan blog yang menyebarkan kandungan atau berita palsu dalam tempoh sama. – BERNAMA