NAMA Syafiq Farhain pernah hangat seketika pada tahun lalu ekoran kontroversinya bersama dengan bapa, Saleem Iklim kerana dikatakan telah meniru suara penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu.
Baca: Isu Saleem Dan Syafiq Farhain Belum Berakhir
Juga: “Saya Dengan Ayah Baik-Baik Sahaja” – Anak Saleem
Kini, sudah genap setahun Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain AM Salim sebagai penyanyi yang memulakan kerjayanya sebagai pegawai bomba itu berkecimpung dalam dunia seni.
Malah, namanya turut dikenali lebih lagi selepas single pertamanya yang berjudul Sayang Maafkan Aku.
Sepanjang setahun bergelar penyanyi, Syafiq mengakui bahawa kehidupannya kini sudah berlainan berbanding dahulu kerana kini dia kurang ruang mempunyai privasi untuk diri sendiri.
“Namun, ia bukan satu perkara yang negatif. Saya percaya ini resam untuk menjadi artis walaupun kemunculan saya tidak dirancang.
“Alhamdulillah, kehidupan saya tidak berubah secara total namun saya akui ruang privasi kurang berbanding kehidupan sebelum popular.
“Saya tidak pernah menyesal pun. Lagipun, saya masih bertugas sebagai anggota bomba,” ujarnya dipetik daripada portal Astro Gempak.
Penyanyi berusia 24 tahun itu juga mengakui bahawa dengan penglibatannya dalam dunia seni telah membuatkan dia berjumpa semula bersama dengan kenalan lama yang sudah jauh menghilang.
Bagaimanapun, sepanjang bergelar penyanyi, Syafiq tidak pernah lagi menerima mesej berunsur lucah mahupun yang tidak masuk akal, berbanding dengan selebriti lain yang pernah menerima mesej tidak senonoh sebegitu.
“Setakat ini belum pernah ada peminat ‘over’ yang menghantar mesej bukan-bukan di akaun media sosial saya.
“Kalau ada pun beberapa kenalan lama yang sudah terputus hubungan dan kembali mencari saya.
“Sekurang-kurangnya kemunculan saya merapatkan semula silaturrahim,” tambanya lagi.
Sayfiq sebelum ini popular dengan single pertamanya berjudul Sayang Maafkan Aku dan tidak lama lagi dia bakal keluar dengan single baharunya yang berunsur ketuhanan. – MYNEWSHUB.CC/AH