TERJERAT… Pakatan Harapan (PH) disifatkan sudah terperangkap dengan kelicikan lakonan mantap bekas negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kononnya sudah kembali insaf!
Demikian tegas Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin yang turut sindir blok pembangkang tidak diiktiraf Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu ketika ditemui media di Kota Kinabalu, Sabah semalam.
“Sekali jadi diktator, selamanya akan jadi diktator. Sehingga ke hari ini, rakyat Malaysia masih lagi terpaksa menanggung beban yang diciptanya,” kata Khairy selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO Sabah tersebut.
Tegas Khairy, beliau malahan pernah menyenaraikan segala kesalahan dan kelemahan sepanjang pentadbiran Mahathir, 92, ketika membuat ucapan dasar Pemuda UMNO dalam perhimpunan agung parti itu di ibu negara.
“Sebagai contoh, banyak perjanjian berat sebelah dimeterai ketika beliau menjadi perdana menteri, seperti penswastaan besar-besaran yang banyak menyebelahi syarikat swasta berbanding membela kepentingan rakyat.
“Serangan turut dibuat ke atas sistem kehakiman negara apabila memecat ketua hakim dan masalah ini kemudian diperbetulkan ketika Tun Abdullah Badawi menjadi perdana menteri,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO itu.
Untuk rekod, pembangkang sendiri pernah kutuk keras Mahathir dengan pelbagai gelaran buruk termasuk diktator zalim Maha Firaun ketika beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun tetapi kini mula buat pusingan U!
Sementara itu, Khairy berkata Karnival Kerjaya BN akan diadakan di Sabah pada 8 April depan menyasarkan generasi muda Sabah selain membersihkan dakwaan pembangkang konon Malaysia ketandusan peluang pekerjaan.
“Kami (BN) hendak rakyat Malaysia tahu bahawa negara ini masih ada lagi banyak peluang pekerjaan untuk ditawarkan kepada rakyat di seluruh negara,” tegas beliau lagi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA