SETELAH berdiam diri selama ini, ibu kepada pelakon, Elfira Loy meluahkan isi hatinya mengenai putusnya pertunangan di antara anaknya bersama penyanyi, Sufian Suhaimi di laman sosial Instagram, semalam.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, satu akaun Instagram dipercayai milik ibu kepada aktres tersebut, dilihat menyindir Sufian berkenaan beberapa perkara termasuklah isu yang dikatakan menjadi punca kedua pasangan selebriti itu putus tunang.
Ia menguatkan lagi khabar angin yang tersebar sebelum ini mengatakan mereka berdua berpisah disebabkan wang hantaran yang tinggi apabila entri yang dimuat naiknya itu turut menyebut mengenai syarat yang ditetapkan kepada Sufian untuk mengumpul RM20 sehari.
Terbaharu, melalui wawancara bersama portal online Rojak Daily, bapa Elfira, Ahmad Sabri Ariffin turut mendedahkan bahwa timbul rasa hati bagai ada sesuatu yang tidak kena sejak majlis pertunangan anaknya bersama pelantun lagu Di Matamu itu lagi.
Jelasnya, perjalanan majlis berkenaan yang kurang lancar dan kelam kabut bagi dirinya melambangkan sesuatu yang tidak baik dalam perhubungan mereka berdua.
“Jujurnya ketika majlis bertunang bulan Oktober lalu pun saya sudah tawar hati. Tapi saya ikut rentak dan percaya mungkin ini semua ujian serta dugaan kecil.
“Majlis pertunangan pun sebenarnya kelam kabut. Saya lihat ia petanda tak baik yang hubungan mereka takkan lama. Cuma saya tidak mahu cepat buat keputusan terburu-buru kerana ia soal kebahagiaan anak sendiri,” katanya kepada portal tersebut.
Pun begitu, selepas dua bulan Elfira dan Sufian bertunang, Sabri ada berbincang dengan bekas isterinya itu untuk tidak meneruskan ikatan pertunangan di antara kedua pasangan itu.
“Kira-kira dua bulan selepas bertunang iaitu pada November tahun lalu saya berbincang dengan ibu Elfira bagaimana untuk tidak meneruskan hubungan mereka.
“Kita orang Melayu ada cara, budaya dan adat sekalipun nak putuskan tali pertunangan. Jujur langkah saya berat tapi mahu atau tidak kena teruskan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Sabri menolak sekeras-kerasnya tanggapan beberapa pihak bahawa wang hantaran yang tinggi menjadi sebab utama keluarga pihak perempuan tidak meneruskan pertunangan antara mereka berdua.
“Kenapa ada yang beranggapan wang jumlah hantaran yang tinggi menjadi punca mereka putus tunang. Percayalah masa majlis merisik mahupun bertunang tak ada pun perkara ini dibangkitkan.
“Masa dua majlis berkenaan pihak keluarga saya sendiri tak ada minta yang minta-minta. Jadi kenapa perlu ada andaian itu dan ini,” soalnya.
Episod di antara kedua pasangan selebriti ini nyata tidak menampakkan tanda-tanda akan reda dengan dengan luahan pihak keluarga Elfira ini.
Perkara ini juga dilihat semakin keruh apabila mereka juga mula mengeluarkan kenyataan meluahkan isi hati yang terbuku walaupun sebelum ini mempersoal tindakan Sufian yang sering mengeluarkan kenyataan kepada pihak media.
Semoga kemelut di antara kedua pihak ini akan dapat diselesaikan dengan baik. Tidak manislah jika kedua-dua pihak masih mengeluarkan kenyataan walaupun isu putus tunang ini sudah lama berlaku. -MYNEWSHUB.CC/EZ