JELI – Senarai calon Barisan Nasional (BN) Kelantan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hampir siap, kata Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata calon yang tersenarai itu juga telah disaring oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ia akan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti dalam masa terdekat.
“Mungkin dalam masa seminggu lagi senarai penuh calon untuk dinilai dan disaring akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Memperkasakan Kesihatan Pergigian Orang Asli di Kampung Sungai Rual Dewan, di sini, hari ini.
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata PRU14 adalah masa bagi rakyat melakukan penilaian terhadap janji-janji yang telah ditaburkan oleh mana-mana parti sebelum ini.
Misalnya, katanya, kerajaan persekutuan tidak pernah berjanji untuk membina Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan sebagainya namun ia tetap dilakukan walaupun tewas di negeri ini.
Sementara itu, Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, turut menafikan penglibatan BN Kelantan dalam mengatur pertemuan melibatkan lima individu bagi mewujudkan kerjasama antara parti itu dengan PAS selepas berakhir PRU13 yang lalu.
“Perkara itu adalah di luar pengetahuan saya dan jika benar dakwaan itu, pertemuan tersebut tidak melibatkan pimpinan utama negeri dan tujuannya juga diragui,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan Timbalan Menteri Besar Kelantan, yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam sebuah klip video yang tular di media sosial semalam kononnya beliau didatangi lima pemimpin Melayu selepas PRU13 yang mahu PAS membentuk kerjasama dengan UMNO demi kepentingan Melayu.
Mohd Amar, dalam klip video berkenaan, bagaimanapun tidak menyebut nama lima pemimpin berkenaan. – BERNAMA