AKHIRNYA… Persengketaan antara kumpulan nasyid, UNIC dengan penyanyi rap popular, Caprice sudah pun berakhir.
Memetik laporan BH Online, kumpulan nasyid itu beranggapan ketiadaan Caprice dalam rangka promosi single terbaru mereka berjudul Sedar dianggap sudah selesai.
Menurut Fakhrul, UNIC akan tetap meneruskan aktiviti promosi lagu berkenaan walaupun bersendirian demi tidak menghampakan para peminatnya .
“Kami memang tidak berdepan apa-apa masalah sejak awal proses rakaman hendak dilakukan. Cuma, bagi aktiviti promosi lagu ini, dia tidak dapat turut serta.
“Begitupun, UNIC tetap menghormati apa juga alasannya apabila dia tidak dapat bersama-sama menjayakan aktiviti promosi. Kami juga anggap isu ini sudah selesai.
“Pastinya Caprice ada alasan tersendiri dan kami pula menganggap kesibukan mungkin menghalang dirinya daripada berbuat demikian,” kata Fakhrul.
Dalam pada itu, Fakhrul mengakui bahawa sehingga kini mereka bertiga masih belum dapat bersemuka dengan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli.
“Selepas menjayakan promosi di sebuah stesen radio, baru-baru ini, kami belum lagi bertemu dengannya.
“Pada masa sama, penganjur sebuah acara anugerah ada menawarkan kami peluang beraksi bersama-sama. Di pihak kami, memang tiada sebarang masalah untuk menjayakan acara berkenaan.
“Namun saya katakan pada pihak produksi terbabit, ia perlu juga ditanya kepada Caprice kerana kami memang menghormati kesibukan dirinya,” ujarnya.
Untuk rekod selain Fakhrul, kumpulan nasyid yang terkenal menerusi lagu Ainul Mardhiah itu turut dianggotai oleh Wan Najdi Wan Mohd Noh dan Bazli Hazwan Che Osman. – MYNEWSHUB.CC/AM