JIKA tahun lalu pelakon dan pengacara terkenal, Neelofa dan pengasas Fashion Valet, Vivy Yusof pernah tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia, kini giliran penyanyi negara yang mencipta nama di China, Shila Amzah pula yang berjaya menembusi senarai tersebut.
Senarai tahunan yang dikeluarkan majalah Forbes itu kini telah masuk tahun ketiga apabila mereka menyenaraikan 30 penerima berusia bawah 30 tahun dalam 10 kategori yang berbeza.
Sementara Neelofa dan Vivy tersenarai dalam kategori Runcit dan E-Dagang, Shila pula tersenarai dalam kategori Selebriti, kategori merangkumi anak seni yang telah menggunakan pengaruh mereka untuk melakukan perubahan.
Shila turut berkongsi berita gembira itu bersama peminatnya melalui entri di laman Instagram sambil turut mengucapkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut.
Dengan pencapaiannya itu, Shila berharap dia dapat memberikan inspirasi kepada anak-anak muda untuk bekerja keras demi mencapai impian.
“Ia merupakan penghargaan besar buat saya untuk tersenarai sebagai salah seorang daripada Forbes 30 Under 30 Asia 2018.
“Saya berharap saya telah memberikan inspirasi kepada belia untuk percaya bahawa impian mampu menjadi kenyataan jika anda mempunyai semangat dan ketabahan yang tinggi,” katanya memetik The Star Online.
Di ruangan komen posting itu, para peminat Shila turut bergembira dan mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada penyanyi lagu Patah Seribu itu.
Penyanyi berusia 27 tahun itu mula menempa nama dalam industri muzik di China selepas menjuarai program nyanyian Asian Wave yang diadakan di Beijing pada tahun 2012.
Menurut Forbes, Shila mempunyai 2.3 juta peminat di laman sosial Weibo yang popular di China dan sebagai seorang wanita beragama Islam, telah berjaya menggalakkan penerimaan agama di negara tembok besar tersebut.
Senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2018 merangkumi 300 individu yang telah melakukan perubahan dalam bidang masing-masing antaranya seperti seni, bisnes dan kewangan.
Selain Shila, rakyat Malaysia lain yang turut tersenarai adalah Amira Geneid, pengasas jenama alat solek muslimah Zahara, dan Pengasas FatHopes Energy, Vinesh Sinha.
Selain itu, Ammar Roslizar dan Ammar Shahrin yang merupakan pengasas bersama agensi pelancongan ARBA Travel & Tours Sdn. Bhd. turut tersenarai dalam kategori Runcit dan E-Dagang. – MYNEWSHUB.CC/EZ