PANAS… Persidangan Dewan Negara yang dijadualkan bermula 16 April dan berakhir 30 April telah pun diawalkan mulai 26 Mac dan tamat 5 April serentak dengan persidangan Dewan Rakyat.
Perubahan ini sekali gus menimbulkan teka teki bahawa Parlimen hanya akan dibubarkan paling awal pada 6 April, iaitu sehari selepas kedua-dua dewan tersebut berjaya menamatkan persidangan penggal keenam Parlimen ke-13.
Ini juga menolak jangkaan sesetengah pihak bahawa Parlimen hanya akan dibubarkan sebaik sahaja selesai membahas dan meluluskan usul persempadanan semula yang dikatakan akan dibentangkan pada Isnin depan.
Untuk rekod, sebenarnya bukan sesuatu yang pelik apabila kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang secara serentak kerana ia pernah berlaku sebelum ini meskipun tiada pilihan raya umum diadakan selepas itu.
Difahamkan, Dewan Rakyat akan terus bersidang mengikut jadual dengan membentangkan beberapa rang undang-undang termasuk Perbekalan Tambahan dan akta baharu untuk menangani gejala penularan berita palsu.
Senator Datuk Megat Zulkarnain Omar Din ketika dihubungi oleh portal BNBBC.my turut mengesahkan menerima pemberitahuan atau notis mesyuarat Dewan Negara akan bermula pada Isnin minggu depan.
Tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan pimpinan BN ditunjangi UMNO sekarang hanya akan berakhir 24 Jun depan sebelum Parlimen boleh dibubarkan secara automatik pada tarikh berkenaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA