PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pemalsuan pasport dan pelbagai dokumen didalangi seorang warga Bangladesh dengan menahan 26 individu di sekitar Lembah Klang dalam satu operasi dijalankan semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata serbuan ke atas beberapa premis hasil risikan selama dua bulan itu menahan warga asing berumur antara 25 dan 50 tahun dari Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Filipina serta seorang lelaki rakyat tempatan.
Beliau berkata sindiket tersebut berselindung di sebalik pelbagai jenis syarikat yang ditubuhkan bagi membekalkan pekerja asing kepada majikan lain itu, selain turut membuat keuntungan atas angin dengan bayaran RM3,000 hingga RM5,000 setiap pekerja.
“Sindiket ini diketuai warga Bangladesh berumur 50 tahun dan hasil siasatan mendapati beliau membuka beberapa syarikat berkaitan tekstil, pembinaan dan pembersihan bagi mengaburi kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mustafar berkata dengan bayaran setiap dokumen yang dipalsukan bernilai sekitar RM1,000 sehingga mencecah US$10,000, pihaknya percaya sindiket tersebut menjana keuntungan haram mencecah jutaan ringgit.
Katanya dalang tersebut didapati memasuki Malaysia sebagai pelancong pada 2005 dan kemudian mewujudkan satu rangkaian pemalsuan pasport dan dokumen pelbagai negara dari negara-negara Asean, Kanada, Perancis, India dan China.
Beliau berkata antara dirampas termasuk 136 pasport palsu, 87 pelekat visa palsu pelbagai negara serta pelbagai mesin dan peralatan pemalsuan dokumen.
“Kami juga mendapati sindiket turut menguruskan permohonan pekerja asing kategori separuh mahir dengan menggunakan sijil pendidikan Bangladesh palsu bagi memenuhi syarat permohonan,” katanya.
Kesemua warga asing terbabit ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 (Akta 150), Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Antipengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613). – BERNAMA