PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza merakamkan sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua yang mengirim ucapan tahniah buat beliau dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa serta puterinya, Fatimah Az-Zahra.
Menerusi entri terbaru di Instagram milik pelantun lagu Mikraj Cinta itu, beliau memuat naik sekeping gambar bersama puterinya beserta kapsyen yang mengucapkan terima kasih bukan sahaja kepada peminatnya di Malaysia.
Malah, penghargaan itu turut ditujukan kepada para peminatnya dari Indonesia, Singapura dan Brunei yang selama ini menjadi tulang belakang kejayaannya.
“Saya bersama suami serta anakanda kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengucapkan tahniah dan mendoakan kami dari mana saja anda berada, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dll,” tulis penyanyi berusia 39 tahun itu.
Menerusi entri berkenaan juga, Siti sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakan artis yang mengucapkan tahniah serta mendoakan yang terbaik buatnya dan keluarga.
“Kepada rakan-rakan artis saya juga, terima kasih di atas ucapan dan ingatan kalian. Alhamdulillah, saya dan anakanda dalam keadaan baik, pihak doktor dan jururawat menjaga kami dengan baik.
“Terima kasih juga kepada semua pihak yang mengirimkan hadiah sehingga ke hari ini. Buat masa ini saya hanya dinasihatkan untuk berehat oleh doktor. #BabyCTDK,” ujar Siti lagi.
Baca: Siti Nurhaliza Selamat Bersalin Bayi Perempuan
Siti selamat melahirkan bayi perempuan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di ibu kota, pada 8.17 pada Isnin lalu. – MYNEWSHUB.CC/AM