DALAM usaha membantu golongan usahawan dan peniaga yang ingin memulakan kerjaya mereka, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) buat julung kalinya menganjurkan program BizFair yang diadakan selama dua hari di Arena Batu Kurau, Perak.
Lebih daripada 1,000 pengunjung yang terdiri daripada penduduk setempat tidak melepaskan peluang hadir seawal 9 pagi lagi bagi mengikuti program yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang aturcara majlis diadakan.
Tinjauan Mynewshub mendapati pelbagai booth menarik yang terdiri daripada agensi kerajaan seperti Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Rakyat, dan Maktab Koperasi Malaysia (MKM) telah dipenuhi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai perniagaan dan program yang ditawarkan.
Program yang digerakkan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama kerajaan negeri itu disempurnakan oleh Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin kira-kira jam 3 petang tadi.
Turut hadir bersama Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner.
Hamzah berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukkan sebagai modal awal perniagaan untuk bakal usahawan yang mahu memulakan perniagaan.
Katanya menerusi program itu, SSM memberikan modal barangan dan perkakasan sebanyak RM3,000 kepada individu yang mahu memulakan perniagaan dan mereka akan dipilih menerusi satu sesi pemilihan khas berbentuk temu duga.
“Dengan adanya bantuan perniagaan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dan seterusnya meningkatkan taraf kehidupan mereka,” katanya.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Larut turut menzahirkan harapan agar mereka yang menerima bantuan perniagaan berbentuk barangan dan perkakasaan daripada kerajaan ini menjadikan sebagai batu loncatan dalam dunia keusahawanan.
Menerusi program BizzFair, pemohanan hanya perlu mengemukakan cadangan peniagaan yang ingin mereka usahakan dan mereka turut diminta untuk berkongsi aspirasi mereka untuk mengorak langkah lebih jauh dengan modal yang diberikan.
SSM turut menggariskan 10 industri yang boleh dipilih untuk diceburi oleh bakal usahawan, iaitu melibatkan perniagaan minuman, jurucakap majlis perkahwinan, khidmat menjahit, baik pulih rumah, gerai burger, pembuatan kuih muih, perusahaan perabot, fotografi, perusahaan kebun/dusun dan perusahaan bakeri.
Pada program ini juga, SSM menyumbang sebanyak 150 buah kerusi roda kepada golongan yang memerlukan dan mengagihkan zakar korporat kepada 500 golongan asnaf, fakir dan miskin, di mana setiap seorang akan menerima wang tunai berjumlah RM200.
Sementara itu lima buah sekolah agama menerima zakat berjumlah RM3000 bagi setiap sekolah dan dua buah surau turut menerima RM10,000 setiap satu.
Dua buah rumah yang berpenghunikan orang kurang upaya turut menerima sumbangan berjumlah RM10,000 setiap satu menerusi program tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). – MYNEWSHUB.CC