PEKAN – Kehilangan bapa ketika menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mematahkan semangat seorang pelajar Orang Asli untuk mencatat keputusan cemerlang dan semangat itu terus menjadi pegangan pada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kali ini.
Bagi Choi Ah Tom, 20, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad, hal itu menguatkan semangatnya untuk belajar lebih gigih kerana sedar tanggungjawab mengubah nasib keluarga kini terletak di bahunya.
Hasilnya dia berjaya mendapat keputusan 7A dalam peperiksaan SPM dua tahun lalu dan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.08 dalam STPM 2017.
“Ayah saya meninggal dunia kerana sakit angin ahmar dan sejak itu kehidupan saya sekeluarga ditanggung abang sulung, Choi Ah Joe yang bekerja sebagai mekanik kereta di Kampung Lepar.
” Kehilangan bapa amat dirasai, namun saya ingat nasihatnya yang minta saya belajar bersungguh-sungguh dan pandai membawa diri,” katanya ketika ditemui Bernama semasa mengambil keputusan peperiksaan STPM di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, di sini hari ini.
Anak kedua daripada empat beradik itu percaya hanya dengan ilmu dia dapat mengubah masa depan keluarganya dan masyarakat Orang Asli di Kampung Tasik Chini.
“Kalau boleh saya ingin menjadi cikgu dan kembali berbakti di kampung apabila tamat belajar untuk bantu ibu saya serta orang kampung,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi calon STPM cemerlang SMK Ahmad, Muhamad Nor Hazzami Razali, 20, dari Kampung Pulau Manis turut berkongsi tip kecemerlangannya memperoleh PNGK 3.67.
“Saya biasanya akan menumpukan perhatian ketika di dalam kelas, walau mengantuk atau letih sekalipun saya tetap akan tumpu pada apa yang diajar oleh guru.
“Selain itu saya membuat ulang kaji bersama rakan-rakan dan banyak mendapat sokongan daripada ibu bapa serta guru.
“Semangat saya semakin kuat apabila melihat ayah gigih menyara hidup kami dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang sawit Sri Menanti,” kata anak keenam daripada lapan beradik ini.
Menyimpan cita-cita untuk bergelar sebagai seorang guru Sejarah, Hazzami menjadikan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai menara gading impiannya untuk melanjutkan pelajaran.
Muhammad Haziq Hazim Zainal, 20, yang bercita-cita menjadi diplomat menzahirkan rasa puas hati dengan usaha yang dilakukan sehingga memperoleh PNGK 3.67.
“Pada awalnya saya takut juga nak ambil STPM sebab selalu dengar cakap-cakap bahawa peperiksaan ini paling susah… tapi saya cabar diri sendiri untuk berjaya.
“Saya bersyukur dengan keputusan ini dan berharap dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam bidang pengajian antarabangsa dan strategik,” katanya. – BERNAMA