Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles
PANGKALAN platun nombor dua Kompeni A, Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pagi itu kecoh apabila didatangi oleh dua orang lelaki.
Kehadiran mereka seawal pukul 6.30 pagi adalah di luar jangkaan anggota tentera yang bertugas di Pulau Tambisan apatah lagi mereka tiba dalam keadaan pucat dan tercungap-cungap.
Keadaan itu, turut mengejutkan Leftenan Muda Suhaidi Saad, 22, yang ketika itu sedang mengemas tempat tidurnya.
Selepas ditenangkan, barulah kedua-dua lelaki yang merupakan penduduk pulau tersebut menceritakan tujuan kedatangan mereka ke situ.
”Kami dikejar oleh dua bot lanun tuan. Nasib baik kami sempat lari dan datang ke sini. Jika tidak, tak tahulah nasib kami,” katanya sambil memberitahu kejadian itu berlaku di pesisir pantai Kampung Opi yang menempatkan salah satu seksyen platun Suhaidi.
Cerita kedua-dua lelaki tersebut agak memeranjatkan Suhaidi dan anggotanya kerana tidak menjangka lanun kini berada begitu hampir dengan pangkalan mereka.
Namun, beliau masih mampu bersikap tenang sambil meminta mereka memberikan maklumat lanjut tentang lanun-lanun tersebut. Selepas membuat perkiraan keadaan serta memikirkan keselamatan anggota salah satu seksyen platunnya seramai empat orang yang berada di Kampung Opi kira-kira satu kilometer dari situ, Suhaidi lantas mengarahkan beberapa anggotanya bersiap.
”Kita pergi ke Kampung Opi sekarang juga. Satu seksyen akan mengikut saya menaiki perahu tempur manakala satu seksyen akan mengikut jalan darat ke sana. Yang lain tunggu di sini,” arah beliau.
Tepat pukul 6.55 pagi tanggal 1 September 1993, Suhaidi bersama lima anggota yang lain terus menaiki perahu tempur yang baru dipasang enjin sehari sebelum itu sebagai persediaan memburu musuh jika perlu.
Sebelum ke Kampung Opi, mereka singgah terlebih dahulu di Balai Polis Tambisan untuk memberikan laporan tentang kehadiran lanun di situ. Selepas itu, barulah mereka meneruskan perjalanan ke kampung tersebut. Baru 800 meter meninggalkan balai polis iaitu berhampiran Pulau Tambisan Timur, mereka terlihat sekumpulan lelaki menaiki dua buah bot.
Berdebar
”Hati saya masa itu berbisik mereka mungkin nelayan tempatan berdasarkan rupa dan pakaian yang mereka pakai,” kata anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini.
Bagaimanapun, untuk kepastian, Suhaidi kemudian mengarahkan anggotanya menghentikan bot seketika tidak jauh dari kumpulan lelaki itu bagi membolehkannya melihat dengan lebih jelas siapa berada di bot laju itu.
Baru beberapa saat berhenti, tiba-tiba bot kumpulan lelaki tersebut dilihat bergerak laju ke arah mereka.
Serentak dengan itu, beliau lantas mengarahkan anggotanya di atas bot bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Waktu itu mereka menanti dalam keadaan berdebar-debar sambil masing-masing menggenggam erat senjata yang dibawa.
Memang kami terkejut ketika itu. Tetapi tindakan mereka itu sekali gus menamatkan keraguan kami tentang identiti mereka. Bila mereka melepaskan tembakan, sah mereka adalah lanun dan bukannya pasukan sahabat.
Apatah lagi dalam keadaan mereka sendiri tidak pasti siapa yang berada di atas bot berkenaan sama ada nelayan, lanun atau anggota polis berpakaian preman yang sedang meronda. Tambahan pula, berdasarkan maklumat penduduk kampung, kumpulan lanun terbabit berpakaian seperti nelayan tempatan serta berada tidak jauh dari Kampung Opi.
Di saat menunggu itu, berbagai perkara terlintas dalam fikiran Suhaidi termasuk nasib mereka jika terpaksa bertempur secara berdepan dengan kumpulan lanun. Paling dibimbanginya ialah jika apa-apa terjadi kepadanya memandangkan lagi sebulan beliau akan melangsungkan perkahwinan dengan Lily Suri.
Ketika sedang sibuk melayan perasaan, tiba-tiba Suhaidi terkejut apabila ternampak salah seorang daripada tujuh lelaki yang menaiki dua buah bot laju sedang memegang senjata M-16 kira-kira 150 meter di depannya.
”Masa itu juga, saya dapat lihat dengan jelas muka mereka. Nyata mereka juga terkejut dengan kehadiran kami sehingga terpaksa memberhentikan bot dengan tiba-tiba,” katanya.
Menurut Suhaidi, beliau percaya kumpulan lelaki tersebut sebenarnya berhasrat untuk merompak mereka kerana menyangka perahu tempur yang dinaiki adalah bot milik penduduk tempatan.
Bagaimanapun apa yang dilihat mereka adalah sebaliknya kerana bot itu dinaiki oleh pasukan tentera.
Mungkin kerana terperanjat, salah seorang daripada lelaki tersebut telah melepaskan tembakan M-16 terhadap pasukan keselamatan dinaiki olehnya dan rakan-rakan yang lain.
Kumpulan lanun yang seramai tujuh atau lapan orang itu dipercayai bersenjatakan tiga laras M-16 serta dua atau tiga laras senjata Garand 7.62 mm.
”Memang kami terkejut ketika itu. Tetapi tindakan mereka itu sekali gus menamatkan keraguan kami tentang identiti mereka.
”Bila mereka melepaskan tembakan, sah mereka adalah lanun dan bukannya pasukan sahabat,” katanya.
Disebabkan bimbang dengan keselamatan mereka ekoran tiada tempat berlindung yang sesuai di atas perahu tempur, Suhaidi lalu mengarahkan semua anggotanya melepaskan tembakan automatik untuk menyaingi daya tembakan musuh.
Tindakan bijak tersebut telah menjadikan kumpulan lanun di atas bot itu menjadi kelam-kabut walaupun jumlah mereka lebih ramai serta memiliki senjata yang lebih baik daripada pasukan keselamatan.
Mereka juga sukar untuk memberikan tembakan balas kerana kerap terpaksa berlindung di sebalik dinding bot.
Biarpun begitu, tembakan balas kumpulan lanun itu tetap membahayakan. Malahan dalam masa yang sama, Suhaidi dapat melihat dengan jelas beberapa tembakan musuh singgah di permukaan laut sehingga air memercik beberapa kali.
Bukan itu sahaja, peluru musuh bersimpang siur di atas kepala mereka. Cuma mereka bernasib baik kerana tiada sebutir peluru pun mengenai bot yang dinaiki. Mungkin kerana keadaan laut yang sedikit bergelora menyukarkan musuh melakukan tenangan dengan tepat.
Kesempatan itu digunakan oleh pasukan keselamatan untuk menewaskan musuh. Baru beberapa ketika bertempur, Suhaidi dapat melihat satu demi satu musuh tumbang di dalam bot selepas terkena tembakan.
Sewaktu pertempuran memasuki minit keempat, Suhaidi ternampak dua buah bot polis marin berkejar ke tempat kejadian untuk membantu mereka selepas mendengar bunyi tembakan. Keadaan itu, sedikit sebanyak menakutkan lagi musuh yang kini perlu bertempur dengan tentera dan polis serentak.
Selepas enam minit bertempur, daya tembakan musuh semakin lemah setelah beberapa anggotanya cedera dan mereka kemudiannya membuat keputusan untuk melarikan diri ke arah perairan antarabangsa.
Sebelum musuh bergerak lebih jauh, Suhaidi mengarahkan Koperal Razak Ahmad menembak menggunakan senjata pelancar bom M203. Bagaimanapun, sebutir bom yang dilancarkan melalui senjata itu tidak mengenai bot musuh.
Melarikan diri
”Bom tersebut terjatuh dalam laut kira-kira sekaki sahaja dari bot musuh. Jika tidak tentu bom tersebut meletup,” katanya sambil memberitahu pertempuran yang berlaku itu telah disaksikan oleh ramai penduduk Pulau Tambisan kerana ia berlaku berhampiran pantai, tidak berapa jauh dari penempatan penduduk.
Disebabkan perahu tempur mereka agak berat dan tidak selaju bot lanun, Suhaidi meminta dua bot marin yang baru tiba mengejar lanun tersebut yang cuba melarikan diri ke perairan antarabangsa dengan menaiki satu bot sahaja sambil meninggalkan bot yang lebih kecil.
Sebaik bot polis marin dan lanun hilang dari pandangan, Suhaidi dan anggotanya menghampiri bot atau perahu kayu jenis Tampel yang ditinggalkan oleh lanun. Di atas bot itu, mereka menemui empat buah enjin bot yang dipercayai dirompak daripada penduduk di samping beberapa peralatan lain. Bot tersebut kemudiannya dirampas dan ditarik ke pantai.
Tidak lama selepas kembali ke pangkalan, Suhaidi mendapat tahu kumpulan lanun tersebut berjaya melarikan diri ke sebuah negara jiran dan ia sedikit sebanyak mengecewakan mereka.
Bagaimanapun, enam hari kemudian mereka mendapat perkhabaran gembira apabila batalion mereka berjaya mendapatkan maklumat lengkap hasil pertempuran itu termasuk yang diberikan oleh pihak polis Sandakan.
”Dari situ saya dapat tahu seramai tiga orang lanun telah terbunuh dalam pertempuran itu termasuk ketuanya yang terkena tembakan di perut.
”Tiga lagi lanun mengalami cedera parah manakala seorang lagi terselamat kerana tidak terkena sebarang tembakan,” katanya sambil memberitahu mayat salah seorang lanun yang dilihat terjatuh ke laut oleh polis marin ketika pertempuran gagal ditemui selepas itu.
Ekoran kejayaan itu, Suhaidi yang kini berpangkat Kapten dan sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara, telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong,
Tuanku Ja’far pada 6 Jun 1995.
Lima lagi anggota pasukannya iaitu Razak, Prebet Azim Rafi, Prebet Norlijan Pungut, Prebet Kamarudin Atan dan Prebet Kamarudin Kamis pula dianugerahkan pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK). – MYNEWSHUB.CC
*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.