GERIK – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Hentian Royal Belum Amanjaya di Pulau Banding, di sini.
Turut berangkat ke majlis tersebut Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, isteri Datin Seri Saripah Zulkifli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri Datuk Saarani Mohamad.
Hentian Royal Belum Amanjaya yang siap pada 2016, sebelum ini dikenali sebagai Jeti Awam Pangkalan Aman, Pulau Banding kini dilengkapi dengan kedai serbaneka, medan selera, kedai cenderahati, ruang parkir yang mencukupi untuk kereta dan bas, serta sebuah helipad.
Pembangunan hentian yang akan menjadi pintu masuk utama untuk pelancong dan orang awam ke Hutan Hujan Tropika Belum-Temengor (BTTR) itu merupakan kerjasama antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Gerik (MDG) serta Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk).
Sementara itu, Saarani yang juga merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Tampan ketika berucap berkata beliau mengharapkan pembinaan hentian itu akan merancakkan lagi pembangunan di daerah ini, khususnya bagi sektor alam sekitar dan pelancongan negeri.
“Industri pelancongan telah menjadi satu daripada industri yang terbesar dan paling cepat berkembang, mencipta peluang pekerjaan dan menjana pendapatan sekali gus dapat memelihara warisan, budaya dan tapak pelancongan,” katanya.
Jelas beliau, berdasarkan statistik pada tahun 2017 dan bersempena Tahun Melawat Perak, Royal Belum telah mencatatkan angka yang tertinggi iaitu 27,327 pelancong dan sebanyak 23,375 pelancong pada tahun sebelumnya iaitu jumlah pelancong telah meningkat dengan drastik.
Pelaksanaan inisiatif seperti hentian ini telah menarik ramai pengunjung ke Royal Belum dan majoritinya adalah daripada negara Eropah seperti Belanda, Switzerland, Itali, Perancis, dan Jerman, katanya.
“Pelancong dari negara lain seperti Amerika, Indonesia, Jepun, China dan Singapura juga menjadikan Royal Belum satu destinasi ekopelancongan yang terkenal apabila berkunjung ke Malaysia.
“Inisiatif membina hentian ini juga diharapkan boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta limpahan manfaat kepada kawasan dan penduduk sekitarnya,” kata Saarani.
Ketua Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata pembinaan hentian yang bernilai RM20.4 juta di atas tanah seluas 1.62 hektar itu akan menjana ekonomi penduduk setempat dengan peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Hasil pendekatan holistik NCIA 2010 hingga 2017, telah meningkatkan jumlah kemasukan pelancong sehingga 200 peratus dan dijangka berkembang dengan kewujudan perhentian terbabit,” katanya. – BERNAMA