JOHOR BAHRU – Tabung Pemerkasaan Belia Iskandar Malaysia (IMPOWER) yang dilancarkan hari ini diharap dapat membantu memperkasakan golongan belia terutamanya dalam meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat di wilayah ekonomi itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tabung dengan dana permulaan sebanyak RM3 juta itu merupakan inisiatif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sebagai usaha meningkatkan penglibatan belia dalam aktiviti pembangunan negara dan ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih progresif.
“Tabung ini bertujuan menyokong program dan aktiviti belia meliputi kebajikan, sosial dan kesukarelawanan dan ia dirasakan perlu dengan pembangunan di wilayah Iskandar Malaysia. Kita perlu pastikan soal peningkatan kedudukan sosial dan pengukuhan keperibadian khususnya belia di kawasan berkenaan.
“Kita mahu suatu pembangunan yang seimbang dan inklusif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Town Hall Sukarelawan Johor Darul Takzim (JDT) di Taman Cendana di Pasir Gudang, di sini hari ini.
Tabung IMPOWER ini terbuka kepada permohonan belia yang berumur 18 hingga 35 tahun termasuk individu, komuniti, persatuan dan juga pihak badan bukan kerajaan dengan setiap permohonan perlu dikemukakan kepada pihak IRDA.
Dana yang ditawarkan menerusi IMPOWER ini bermula daripada RM3,000 hingga RM70,000 merangkumi lima program yang dicadangkan seperti pendidikan dan kemahiran pembangunan; keusahawanan dan pekerjaan; sukarelawan dan penglibatan komuniti; sukan dan gaya hidup sihat serta seni dan budaya.
Dana yang diperuntukkan selama dua tahun bermula tahun ini hingga 2019 itu boleh digunakan bagi menampung pembiayaan termasuk melibatkan kos penganjuran program.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata Barisan Nasional (BN) negeri mempunyai perancangan jelas untuk pembangunan negeri melibatkan semua pihak termasuk golongan muda.
“Kita ada masa depan yang sangat jelas dan Johor merupakan negeri yang sarat dengan cita-cita untuk membina masa depan lebih gemilang.
“Kita pentingkan masa depan, selama ini kerajaan negeri Johor (turut mementingkan) pasal pendidikan, kemahiran, peluang pekerjaan untuk orang muda dan bukan setakat nak padang bola. Rakyat negeri ini akan berfikir, siapa yang akan beri jaminan masa depan,” kata Pengerusi BN negeri itu. – BERNAMA