FILEM KL Special Force telah menampilkan banyak sisi berbeza barisan pelakon yang membintangi filem tersebut dan antara yang turut terkesan dengan watak yang dibawa ialah Ramona Zamzam.
Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam akui bahawa dia berasa tidak puas hati dengan aksi yang diberikannya dalam filem dibawah arahan Syafiq Yusof itu.
“Saya bersyukur kerana Syafiq memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa watak aksi dalam filem ini.
“Walaupun tak puas sangat sebab saya mahukan karakter yang lebih lasak dan mencabar kemampuan diri saya yang sebenar,” katanya dipetik daripada portal Astro Gempak.
Sebagai seorang pelakon, ibu kepada seorang cahaya mata itu mahukan kelainan dalam setiap lakonan yang dibawa.
Karakter lasak sentiasa menjadi impiannya kerana ia bagaikan mencabar dirinya untuk melakukan segala aksi bagi menampilkan bakat dirinya.
“Saya sebenarnya dah lama idamkan watak aksi kerana sebelum ini banyak menerima tawaran membawakan watak antagonis atau perampas sahaja.
“Diharapkan agar KL Special Force adalah permulaan baik untuk saya dan membuka mata ramai penerbit dalam menawarkan watak aksi kepada saya,” tambahnya lagi.
Menerusi filem KL Special Force, Ramona telah membawa watak sebagai Dee iaitu salah seorang ahli kumpulan perompak yang dikenali sebagai Anarkis.
Disember tahun lalu, Ramona telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Ivanna Alashkar hasil perkahwinannya bersama dengan jejaka pilihan hati, Rami Alashkar yang merupakan warga Palestin. –Â MYNEWSHUB.CC/AH