Saturday, October 26, 2024

Creating liberating content

Bekas Pengerusi PAC Tidak...

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin...

Peniaga Kecil Perlu Usaha...

KUALA LUMPUR - Laporan yang mendakwa kononnya peniaga kecil mengalami kesukaran melakukan pendaftaran...

Alasan Pelik Sinar Harian...

SHAH ALAM - Akhbar Sinar Harian yang selama ini sering 'mendabik dada' sebagai berkecuali...

Pengembala Jumpa Mayat Warga...

BATU PAHAT - Mayat wanita warga emas yang hilang selepas keluar ke kebun...

Taman Ilmu Kejayaan BN Bina Kota Pendidikan

KUALA TERENGGANU – Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air…berbaki hanya beberapa jam lagi, Taman Ilmu di Besut bakal mencipta sejarah tersendiri sebagai hab pendidikan tinggi dan gerbang pendidikan bagi Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Tanggal 15 Mac 2018 bakal menjadi satu lagi tarikh bersejarah yang istimewa buat kerajaan negeri Barisan Nasional Terengganu pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman apabila Taman Ilmu menerima tetamu baharunya iaitu Universiti P Ramlee.

Selain 220 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang telah lama menghuni asrama di Taman Ilmu, kehadiran pelajar Universiti P Ramlee bakal merancakkan lagi kota pendidikan itu dengan lautan ilmu yang menjadi nadi penggerak kepada pembangunan di sekitar kawasan berkenaan.

Malah, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) juga bakal mengikut jejak langkah yang sama untuk memanfaatkan semua kemudahan yang ada seperti kelengkapan asrama, kompleks pusat pelajar, dewan konvokesyen dan kompleks sukan serta mini stadium di Taman Ilmu tidak lama lagi.

Mengulas kejayaan kerajaan negeri menggerakkan Taman Ilmu itu, Ahmad Razif berkata segala penat lelah yang dicurahkan 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu terhadap projek itu, sejak menerima amanah sebagai pemimpin nombor satu di Terengganu sejak 12 Mei 2014, ternyata berbaloi apabila banyak universiti mula membuka mata dan mengintai peluang yang ada di Taman Ilmu.

“Sejak hari pertama saya menggalas tanggungjawab berat sebagai Menteri Besar ini, jauh di sudut hati saya sudah berazam mahu menyiapkan semua projek yang dimulakan pimpinan terdahulu dan satu daripadanya ialah Taman Ilmu.

Alhamdulillah, biar diasak kiri dan kanan, dicemuh depan dan belakang daripada pelbagai pihak terutama pembangkang…berkat semangat kerja berpasukan, akhirnya Taman Ilmu mampu meneruskan matlamat utama penubuhannya untuk menjadi kota pendidikan yang gemilang.

“Ini adalah lambang penghargaan kerajaan kepada rakyat Terengganu yang sentiasa bekerja keras dan berhempas pulas dalam memastikan negeri kita sentiasa terkehadapan dalam bidang pendidikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Idea asal Taman Ilmu yang dicetuskan Datuk Seri Idris Jusoh itu diteruskan pada zaman pimpinan seterusnya oleh Datuk Seri Ahmad Said dan direalisasikan pada era pemerintahan Ahmad Razif.

Projek Taman Ilmu yang dimulakan pada tahun 2007 melalui Rancangan Malaysia Kesembilan adalah di bawah ECER di kawasan seluas 280 hektar dengan kos lebih RM300 juta.

Taman Ilmu mula menjadi sebutan ramai apabila pembinaannya tertangguh pada 2012 dan sejak itu ia menjadi modal politik pembangkang untuk memberi persepsi negatif kepada kerajaan negeri yang didakwa membazirkan wang rakyat.


Ahmad Razif berkata projek itu tertangguh bukan bermaksud kerajaan mengabaikan Taman Ilmu atau memberhentikan terus pembinaannya.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk membiarkan Taman Ilmu menjadi projek ‘gajah putih’….sebab itu perbincangan demi perbincangan diadakan dengan pelbagai pihak terutama Kementerian Pengajian Tinggi bagaimana mahu memberi nafas baharu kepada Taman Ilmu.

Alhamdulillah, berkat kesabaran dan doa tanpa henti, Taman Ilmu mula dihuni secara berperingkat dan pasti ia akan menjadi satu lagi tanda mercu kejayaan pendidikan di Terengganu tidak lama lagi,” katanya.

Di sebalik kegembiraan dan kelegaan kepada BN Terengganu dengan perkembangan Taman Ilmu itu, bagi pembangkang pula, tarikh 15 Mac amat menghiris hati dan meninggalkan parut luka yang dalam bagi mereka kerana hilang satu lagi modal politik menjelang pilihan raya umum ke-14 tidak lama lagi.

Setelah lama mengasak dan menyerang bertubi-tubi ‘kelemahan dan kegagalan’ kerajaan BN Terengganu menguruskan Taman Ilmu, penyerahan beberapa komponen Taman Ilmu kepada Universiti P Ramlee esok pasti akan menjadi ‘mimpi ngeri’ buat pembangkang.

Tanpa memikirkan kata-kata negatif daripada pihak tidak bertanggungjawab, Ahmad Razif menegaskan Taman Ilmu itu sendiri menjadi satu lagi bukti nyata kisah kejayaan pimpinan UMNO dan BN Terengganu yang sangat cemerlang selama ini.

“Hanya kini kita menanti restu Ilahi agar Taman Ilmu menjadi kota pendidikan terulung selari hasrat Terengganu melahirkan generasi ulul albab terus dirahmati….Insya-Allah,” katanya. – BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan:
  • BN

Kategori