BENTONG – Pemilik motor dan kenderaan yang cukai jalannya telah tamat tempoh tidak lebih dari tiga tahun kini dibenarkan untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan mereka tanpa perlu melalui proses biasa, menerusi program pemutihan yang berkuatkuasa hari ini hingga akhir Jun.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata program pemutihan itu, yang pertama kalinya pernah dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), telah mendapatkan sokongan serta kerjasama dari syarikat-syarikat insurans.
“Saya menyeru supaya pemilik kenderaan terlibat mengambil peluang ini untuk memperbaharui semula cukai jalan dan insurans kenderaan mereka dalam tempoh tiga bulan ini.
“Program pemutihan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat, khususnya mereka yang berada dalam golongan B40 (kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah),” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Karnival Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.
Katanya pemilik motosikal dan kenderaan yang terlibat juga akan menikmati potongan bayaran insurans jika memperbahurinya dalam tempoh itu. – BERNAMA