SHAH ALAM – Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasmikan ‘Rehlah Nabawiyyah’ iaitu pameran yang menceritakan kisah kehidupan Rasulullah SAW di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Seksyen 10 di sini.
Baginda mencemar duli melawat pameran anjuran Yayasan Restu itu yang memaparkan kisah sebelum kelahiran sehingga kewafatan baginda menerusi pelbagai bentuk termasuk lukisan tiga dimensi (3D), model, replika dan video.
Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa dalam ucapannya berkata, pameran yang dibuka kepada orang ramai sejak 18 Nov tahun lepas itu berkonsepkan ilmu dan dakwah.
“Pengunjung yang hadir akan dapat merasai sendiri pengalaman hebat kisah Rasulullah SAW yang dipaparkan dalam teknologi terkini seperti 3D dan video.
“Pameran ini juga selari dengan aspirasi Yayasan Restu dalam menyebarkan ilmu al-Quran selain usaha dakwah yang berterusan supaya dapat dimanfaatkan oleh ummah,” katanya.
Setakat ini, pameran itu telah menerima kira-kira 10,000 pengunjung dan orang ramai yang berminat untuk menyaksikannya boleh mendapatkan tiket di kompleks berkenaan dengan harga RM15 bagi kanak-kanak dan RM25 untuk dewasa. – BERNAMA