HAMURIYYEH – Tentera rejim Syria mara ke bandar utama di Ghouta Timur lewat semalam di tengah pengeboman, kata pemerhati.
“Tentera menyerang Hammuriyeh dan berjaya merampas beberapa kawasan di selatan wilayah itu,” kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang beribu pejabat di Britain.
Tentera yang disokong Russia itu mula menyerang Ghouta Timur pada 18 Februari lalu untuk merampas semula kubu terakhir puak penentang di luar Damsyik.
Serangan membahagikan wilayah itu kepada tiga bahagian, setiap satunya dikawal puak penentang berbeza.
Kawasan sekitar Hammuriyeh dikawal cabang Faylaq al-Rahman. Ia dibom besar-besaran beberapa hari ini, lapor wartawan AFP di situ.
Semalam, wartawan menyaksikan seorang lelaki di pintu masuk bangunan memegang mayat dua anaknya.
Doktor di kawasan itu berkata, pasukan penyelamat tidak dapat sampai kepada mangsa kerana pengeboman besar-besaran.
Lebih 1,200 penduduk awam maut di Ghouta Timur sejak 18 Februari lalu. – AFP/BH ONLINE