Monday, January 13, 2025

Creating liberating content

Lelaki Ditahan Dipercayai Terlibat...

KLUANG - Seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun ditahan semalam kerana disyaki terlibat...

Pesawat CN235: TUDM Tubuh...

KUALA LUMPUR - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menubuhkan sebuah Pasukan Lembaga Penyiasatan...

Gandingan Mun Yee-Nur Dhabitah...

JAKARTA - Gandingan Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri menghadiahkan pingat gangsa...

Bayi Perempuan Baru Lahir...

JOHOR BAHRU - Seorang bayi perempuan dipercayai baharu lahir dijumpai di dalam sebuah...

Terowong Genting Sempah Gerbang Perubahan Ekonomi

KUANTAN – Tanggal 7 Januari lepas, genap 40 tahun usia Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Terowong Genting Sempah yang kini merupakan laluan utama menghubungkan antara Lembah Klang dengan Pantai Timur.

Lebuh raya dan terowong jalan raya pertama di negara ini, yang dibuka secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya dan Kemudahan-kemudahan Awam ketika itu iaitu Datuk Abdul Ghani Gilong, disifatkan sebagai ‘gerbang’ kepada perubahan landskap ekonomi tiga buah negeri di Pantai Timur.

Bermula hanya dengan terowong tunggal dua lorong, ia kemudian ditambah menjadi empat lorong pada 1995 iaitu ketika Lebuh raya Karak dinaik taraf daripada lebuh raya dua lorong kepada lebuh raya ekpres empat lorong.

Ia berikutan peningkatan trafik keluar dan masuk ke ibu negara dari Pantai Timur walaupun ketika itu masih terdapat jalan alternatif yang boleh digunakan seperti Jalan 68, Bentong-Kuala Lumpur dan Jalan 55, Kuala Kubu – Raub.

Mengambil kira status Malaysia yang masih merupakan negara pertanian ketika itu, pembinaan KLK dan terowong sepanjang 900 meter dengan kos keseluruhan kedua-dua projek melebihi RM150 juta, ia merupakan perkara yang membanggakan dan pelaburan besar untuk Pantai Timur.

Perkara itu diakui sendiri oleh Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Pahang, Yusri Yusof yang menyifatkan pembinaan KLK sepanjang 60 kilometer menjadi titik mula kepada perubahan ‘wajah’ ekonomi Pantai Timur.

“Dahulu untuk ke Kuala Lumpur dari Kuantan memang ‘bercinta’ kerana terpaksa mengambil masa antara empat hingga lima jam dengan melalui jalan lama melalui pekan-pekan kecil seperti Maran, Temerloh, Karak, Bentong dan Gombak.

“Jalannya pula agak kecil dan bengkang-bengkok menyebabkan laluannya agak berbahaya sehingga tidak ramai dalam kalangan pelabur berminat untuk menanam modal di Pantai Timur kerana faktor masa dan jauh dari ibu negara.

“Namun selepas itu, kita lihat situasi semakin berubah ditambah lagi dengan adanya lanjutan daripada KLK iaitu Lebuh raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) yang siap pada 2004, merancakkan lagi ekonomi di wilayah ini.

“Malah, pekan Bentong,Temerloh dan Maran yang suatu ketika dahulu hanya ‘pekan koboi’ kini mengalami pembangunan ekonomi yang pesat termasuk kawasan-kawasan pelancongan di kesemua daerah itu,” katanya kepada Bernama.

Menyedari kepentingan lebuh raya itu, ANIH Berhad selaku pemegang konsensi KLK sejak Julai 1994 dan LPT 1 sentiasa melaksanakan kerja penyelenggaraan di sepanjang lebuh raya berkenaan khususnya Terowong Genting Sempah.

Menurut Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein untuk kerja penyelenggaraan utama terowong Genting Sempah pada tahun lepas sahaja, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM1.1 juta, manakala kos penyelenggaraan rutin tahunan RM360,000.


“Seperti yang kita tahu, Terowong Genting Sempah merupakan yang pertama dan tertua di negara ini dan pernah menjadi terowong terpanjang di Malaysia sebelum ‘gelaran’itu diambil alih oleh Terowong Smart.

“Pada hari biasa secara purata dianggarkan sebanyak 47,172 kenderaan akan melalui terowong ini dan jumlahnya meningkat kepada sehingga 127,449 buah kenderaan menjelang musim cuti perayaan.

“Oleh kerana itu pihak ANIH Berhad sentiasa memastikan terowong ini berada dalam keadaan terbaik pada setiap masa demi memberikan keselesaan dan keselamatan pengguna,” katanya.

Menurut Nik Fauzi, kerja penyelengaraan tahunan dilakukan dengan kerja-kerja memeriksa permukaan jalan di terowong selain alatan yang ada di dalam terowong itu seperti kamera litar dan lampu.

“Manakala untuk kerja penyelenggaraan utama pada tahun lepas, kami melakukan pemeriksaan secara lebih teliti termasuk memeriksa keseluruhan terowong, dindingnya untuk pastikan struktur sentiasa kukuh dan tidak tergugat dengan kelembapan,” katanya.

Ini kerana, katanya, terowong Genting Sempah terletak di kawasan bukit yang mempunyai saluran air semula jadi di atasnya menyebabkan pemeriksaan visual terpaksa dilakukan dengan menggunakan mesin Infrared Thermal untuk mengesan sebarang kelembapan dan kebocoran.

Segala kebocoran kemudian akan ditampal dengan menggunakan bahan kimia khas dan dibaiki segera oleh syarikat kontraktor yang dilantik dengan dikawal selia oleh pasukan petugas khas ANIH Berhad.

Ia dilakukan bagi memastikan terowong yang menjadi pencetus perubahan kepada ekonomi Pantai Timur itu terus kekal utuh. – BERNAMA

Kategori