GARA-GARA hendak membaiki mesin pembancuh simen, seorang pekerja warga Bangladesh sesak nafas setelah tersangkut di dalam mesin tersebut di sebuah kilang di Jalan Lahat, hari ini.
Kejadian dalam jam 4 petang itu, mangsa, Akter Ali, 32, masuk ke dalam mesin pembancuh simen untuk menjalankan kerja penyelenggaraan sebelum ‘terperangkap’ di dalam mesin itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Omar Mahmud berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, berada dalam kedudukan menunduk separuh badan di dalam mesin tersebut mengalami kesukaran untuk menegakkan semula badannya.
“Rakan-rakan mangsa cuba membantu menariknya keluar dari mesin tersebut namun gagal lalu menghubungi pihak bomba untuk bantuan.
“Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian menarik keluar mangsa dan pasukan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) memberikan rawatan awal kepada mangsa,” katanya pada akhbar tempatan.
Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini menaiki kenderaan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) untuk rawatan lanjut. – MYNEWSHUB.CC/MIZE