PUTRAJAYA – Tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas dan Paginatan ekoran kematian penyandangnya Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Datuk Siringan Gubat.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata ini memandangkan waktu terdapatnya kekosongan luar jangka itu berlaku melebihi tempoh tiga tahun serta tiada pemberitahuan oleh Speaker DUN Sabah mengenai keperluan untuk mengisi kekosongan itu.
Katanya, di bawah Bahagian II, Perkara 21.(5), Perlembagaan Negeri Sabah menyatakan bahawa jika kekosongan luar jangka dipastikan dalam tempoh dua tahun sebelum mandat yang diberikan kepada kerajaan negeri akan terbubar, maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Yang Dipertua memberitahu SPR secara bertulis akan keperluan pengisian kekosongan itu.
“Maka SPR memutuskan bahawa tiada pilihan raya kecil dijalankan bagi mengisi kekosongan kerusi DUN N.31 Paginatan, Sabah dan N.56 Apas, Sabah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri Sabah yang dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tawfiq, 56, meninggal dunia ketika menerima rawatan kanser usus di Kuala Lumpur pada 14 Mac lalu manakala Siringan, 68 meninggal akibat serangan jantung di Kota Kinabalu pada 21 Mac. – BERNAMA